Pertembungan ‘2 kem’ UMNO, kemana kesudahannya?

Pertembungan ‘2 kem’ UMNO, kemana kesudahannya? Selepas pengumuman tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu, semua mata kemudian tertumpu kepada ‘kem’ menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apatah lagi ketika sidang media Zahid, pemimpin yang kelihatan berdiri di belakang Presiden juga bukan calang-calang.

Daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sehinggalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman.



Turut mengejutkan apabila Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjadi Menteri UMNO pertama melepaskan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada hari yang sama.

Kumpulan ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN) juga dikatakan sedikit ‘goyang’ dengan tindakan Shamsul Anuar apatah lagi, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan lebih banyak menteri dan timbalan menteri akan mengikut jejak itu.

Setakat Khamis, antara yang turut mengikut jejak Shamsul Anuar ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meletakkan jawatan dalam Boustead Holding dan Datuk Mohd Razlan Rafii sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kedua-duanya merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagaimanapun mereka bukan ahli Parlimen yang boleh memainkan peranan dalam kiraan undi di Parlimen.



Selepas empat hari menanti, apakah kumpulan menyokong Muhyiddin akan kekal dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bersama Zahid, jawapannya terungkai pagi Jumaat.

Dalam satu sidang media khas, Ismail Sabri yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO berkata, kesemua 31 Ahli Parlimen UMNO/BN tidak akan meletak jawatan atau menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN.

Katanya, mereka berpendirian untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda telah berkenan agar keabsahan kerajaan PN ditentukan di Parlimen dengan satu usul percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat September ini.



“Jadi jelas bahawa, Seri Paduka Baginda mahu Parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini boleh berfungsi selepas September.

“Ini jelas pihak Istana Negara tidak lagi menerima surat akaun SD atau pun surat-surat sokongan,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Sama seperti sidang media Presiden pada Selasa, Ismail Sabri juga mengumpulkan pemimpin-pemimpin kuat BN di belakangnya.

Antara pemimpin yang berdiri bersama Ismail Sabri dalam sidang media itu termasuklah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Sadique.



Tidak ketinggalan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahdidan Kassim.

Nampaknya, dengan keputusan 31 menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional makin jelas hubungan dua kem dalam parti terbesar di Malaysia itu makin tegang.

Walaupun nampak tegas dalam sidang medianya baru-baru ini, bagaimanapun untuk kesekian kalinya, Zahid terus gagal sama ada untuk ‘memujuk’ atau ‘menggertak’ 31 pemimpin UMNO dan BN bagi bersama beliau.

Persoalannya, kini apakah langkah politik seterusnya di pihak Presiden? Adakah beliau mempunyai keberanian untuk mengambil tindakan disiplin atau memecat ke atas 31 pemimpin UMNO/BN? Atau perlukah Zahid mencongak jalan lain dalam memastikan beliau mendapat lebih banyak sokongan? Yang pasti, keengganan ahli Parlimen UMNO/BN untuk terus menuruti arahan Zahid adalah satu tamparan hebat kepada institusi Presiden parti itu.



Namun, persoalannya juga, sekiranya pada 6 September ini, kerajaan PN tumbang menerusi undi tidak percaya di Parlimen, apakah nasib 31 ahli Parlimen UMNO/BN yang melanggar Presiden dan ke mana kesudahannya?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penangguhan pemilihan UMNO tak sah – RoS



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker