ASP mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan rasuah

ASP mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan rasuah. Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lepas.

Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, didakwa bersetuju menerima suapan sebanyak RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada 12 tengah hari 5 Ogos 2018 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ameyrudin turut didakwa menerima suapan wang tunai RM15,000 daripada Muhamad Hisham atas sebab sama di dalam sebuah kenderaan di depan sebuah premis di sini pada 4.30 petang 7 Ogos 2018 mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Ahmad Zahari Abdul Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu Ameyrudin perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Alor Setar manakala dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 14 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Syarullah Khan. – Bernama


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Noor Hisham tersepit, dipersoal berat sebelah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker