Ahli Parlimen UMNO dari Maran sokong Muhyiddin

Sebaran :

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan Pakatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan daripada UMNO turut menyembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan sentiasa menjaga serta mempertahan institusi Raja-Raja Melayu.

“Patik turut menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan Malaysia, sebagaimana sokongan patik kepada Perdana Menteri sebelum ini dan juga kerajaan, tidak lain dan tidak bukan kerana amanah dan tanggungjawab patik kepada agama, bangsa dan negara.

“Patik menjunjung titah perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Justeru sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, patik akan terus melaksanakan dan memberi khidmat sehabis baik dengan jujur, bersih, cekap dan amanah demi rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas, tengah hari tadi menyatakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong ketika sesi menghadap Seri Paduka, pagi tadi di Istana Negara.

Pada sesi menghadap hampir sejam itu, Muhyiddin mendedahkan beliau menyembah maklum mengenai penerimaan sejumlah surat akuan bersumpah daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai meyakinkan.

Perkara itu selepas beliau menerima satu warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan lapan Ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada baginda, mereka menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan PN yang didakwa gagal pada mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Ahli Parlimen UMNO dari Maran sokong Muhyiddin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kepada siapa Najib bermadah ‘ada bersama ketika senang, ada bersama ketika susah’


Sebaran :

Leave a Reply