Tunjuk bukti kalau berani, kata Puad

Tunjuk bukti kalau berani, kata Puad kepada Ahli Parlimen sokong PM

Seorang pemimpin Umno mahu sekumpulan Ahli Parlimen daripada parti itu menunjukkan bukti bahawa mereka menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seperti didakwa.

“Adakah mereka berani? Ini dilihat sebagai melanggar keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang lantang bersuara, Puad Zarkashi.

Kepimpinan parti itu sebelum ini mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tetapi akan kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Bercakap kepada FMT, Puad berkata sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Muhyiddin dilihat sebagai satu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini menzahirkan rasa dukacita terhadap kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan baginda.

Puad berkata demikian bagi mengulas satu laporan bahawa hanya terdapat 19 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menghadiri mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Baru-baru ini, Ismail yang juga Naib Presiden Umno mengesahkan kesahihan terhadap dakwaan 40 Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin dan menjelaskan keputusan itu dibuat selepas dia mempengerusikan mesyuarat bersama mereka pada 29 Julai lalu.

Mesyuarat itu diadakan susulan ketegangan yang berlaku antara Istana Negara dan Putrajaya berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang merupakan undang-undang diluluskan Yang di-Pertuan Agong di bawah pengisytiharan darurat yang tamat pada 1 Ogos.

Puad berkata, beliau percaya bilangan Ahli Parlimen Umno yang menghadiri mesyuarat dengan Ismail adalah lebih kecil kerana mereka bimbang akan dilabel sebagai pengkhianat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Umno.

Beliau juga berkata Ahli Parlimen yang menghadiri mesyuarat itu hanya digunakan oleh “broker kuasa” yang hanya ingin memperkukuhkan kedudukan mereka dalam kerajaan.

Disebabkan itu beliau mahu mencabar mereka yang mendakwa menyokong Muhyiddin untuk menunjukkan bukti masing-masing.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan juga berkata, dia tidak terkejut sekiranya lebih ramai Ahli Parlimen yang menjauhkan diri mereka daripada kerajaan.

“Saya rasa ia adalah perkara logik untuk Ahli Parlimen Barisan Nasional berbuat demikian.”

Bagaimanapun katanya, selagi tidak ada jumlah suara yang rasmi di Dewan Rakyat bagi membuktikan kurangnya sokongan terhadap perdana menteri, status quo akan terus kekal. FMT

Tunjuk bukti kalau berani, kata Puad


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wanita dapat suntikan vaksin ‘sanitizer’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker