UTHM hasilkan kereta elektrik “ECO

 

BATU PAHAT, 15 Okt — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan negara ini tidak kekurangan bakat tempatan dalam industri automotif apabila sekumpulan penyelidiknya berjaya mencipta kenderaan berkuasa elektrik yang dinamakan “ECO”.

Ketua Projek ECO Prof Madya Dr Samsul Haimi Dahlan berkata ECO siap dalam masa 14 bulan, iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal pada penghujung November ini.

Menurut penyelidik di Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (ENCenter) UTHM itu, penyelidikan mengenai kereta berkenaan dijalankan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM.

“Antara tujuan utama penghasilan kereta elektrik ini ialah untuk menyahut seruan penghasilan kenderaan masa depan yang lebih mesra alam,  bebas  pencemaran bunyi, asap dan yang lebih penting dapat mengelakkan gangguan elektromagnetik,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Katanya antara kelebihan ECO ialah kos pengoperasian hanya sekitar RM4 untuk pecutan 100 kilometer sejam berbanding kenderaan menggunakan bahan bakar petrol yang memerlukan RM30 untuk jarak sama.

“Kita juga cukup bertuah apabila UTHM memberikan geran dalaman sebanyak RM55,000 untuk menghasilkan kereta elektrik yang mampu membawa bebanan (barangan) sehingga 200 kilogram pada satu-satu masa.

“Sasaran pasaran kereta elektrik ini ialah trak pengangkut ringan yang kebiasaannya digunakan sebagai trak makanan. ECO sesuai digunakan bagi tujuan itu kerana saiz yang agak kecil selain kos penyelenggaraan yang lebih rendah,” katanya.

Selain dikuatkuasakan oleh bateri lithium-ion yang berjangka hayat hingga 10 tahun, ECO juga dilengkapi kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang menerima arahan suara bagi mengoperasikan pengelap cermin dan membelok, katanya.

Menurutnya, ECO dibangunkan dengan kerjasama pensyarah FKEE Dr Xavier Ngu Toh Ik yang pernah terlibat sebagai konsultan pembinaan kereta elektrik di luar negara, Dr Mohd Razali Tomari, Mohd Rostam Anuar dan Miskiah Muhammad Ihsan.

Samsul Haimi juga berkata setakat ini beberapa syarikat telah menunjukkan minat terhadap ECO bagi kegunaan sendiri.

—  BERNAMA

https://mykmu.net/2018/04/26/transformasi-industri-automotif-terus-dipacu-jika-bn-dapat-mandat-najib/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker