Stok kit ujian kendiri Covid-19 ‘licin’ dalam tempoh dua hari

Sebaran :

SHAH ALAM – Kit ujian kendiri Covid-19 yang dibekalkan dan diedarkan di farmasi seluruh negara bermula 21 Julai lalu ternyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Shah Alam mendapati kebanyakannya telah kehabisan kit tersebut dan masih menunggu bekalan daripada pembekal.

Menurut seorang ahli farmasi, Intan Zarina Ngah Hassan, 48, bekalan pertama sebanyak 50 unit jenama ‘Gmate Covid-19 Rapid Antigent Test’ (Gmate) yang diterima dua minggu lalu habis dijual dalam masa dua hari sahaja.

“Sehingga hari ini, sudah dua kali kami terima stok dan habis dijual hanya beberapa hari sahaja. Kami tidak pasti bila bekalan baharu akan masuk kerana pembekal pun tidak menang tangan.

“Orang ramai mula ada kesedaran untuk melakukan ujian kendiri menyebabkan sambutan luar biasa terhadap kit ujian tersebut.

“Ada juga yang beli sebagai persediaan seperti golongan yang bekerja dan perlu bersemuka dengan orang ramai, mungkin dia kena buat ujian seminggu sekali,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Intan Zarina berkata, orang ramai boleh membeli kit ujian tersebut secara dalam talian melalui aplikasi MySejahtera.

“Kaedah ini memudahkan individu yang mahu membuat ujian Covid-19 tanpa perlu keluar rumah, sebaliknya boleh beli dalam talian saja,” ujarnya.

Sementara itu, penolong farmasi, Muyassarah Hamdan, 24, berkata, stok pertama yang dihantar di farmasinya sebanyak 100 unit pada tiga minggu lalu habis dijual dalam masa singkat.

“Sambutan amat menggalakkan sebab sekali orang beli dalam 10 unit. Ada juga yang sudah tempah awal dan beri bayaran penuh sebelum datang ke kedai.

“Setakat hari ini, kami sudah terima sebanyak empat kali bekalan. Sekarang bekalan sudah habis dan kemungkinan akan dihantar dalam dua minggu lagi,” katanya.

Muyassarah berkata, pihaknya tidak mengehadkan pembelian kit ujian Covid-19 tersebut, namun setiap pembeli perlu merekodkan perincian diri seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat rumah.

“Rekod tersebut wajib untuk setiap farmasi kerana sekiranya ada kes positif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat kesan melalui sistem,” katanya.

 

Kit ujian kendiri 'Gmate COVID-19 Rapid Antigen Test' buatan Korea yang kini boleh dibeli. -Foto Bernama
Kit ujian kendiri ‘Gmate COVID-19 Rapid Antigen Test’ buatan Korea yang kini boleh dibeli. -Foto Bernama

Jelasnya, keberkesanan kit ujian itu adalah tepat kerana telah mendapat kelulusan daripada KKM terlebih dahulu dan cara penggunaan turut disediakan.

“Di setiap kotak disediakan QR Code untuk mengimbas video demo penggunaan kit ujian ini bagi individu yang baru pertama kali mencubanya,” ujarnya.

Pembantu jualan di sebuah farmasi yang ingin dikenali sebagai Aiman berkata, harga jualan mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM iaitu RM39.90 seunit.

Aiman turut akui permintaan kit ujian Covid-19 di farmasinya sangat memberangsangkan terutamanya jenama Gmate di mana bekalan sebanyak 12 unit yang diterima habis terjual dalam masa sehari sahaja.

“Setakat ini, jenama Gmate paling dapat sambutan kerana berdasarkan ujian KKM, lebih kurang 81 ke 87 peratus ketepatannya.

“Kami kena ambil giliran dengan pembekal sebab stok mereka juga terhad. Bekalan baharu dijangka sampai 14 Ogos,” katanya.

Dalam pada itu, ahli farmasi yang ingin dikenali sebagai Caryn, 24, berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu stok daripada pembekal berikutan permintaan tinggi daripada farmasi lain.

“Pembekal tidak boleh beri jawapan bila kit ujian tersebut akan dihantar disebabkan high demand,” ujarnya.

Pekerja swasta, Nur Afiqah Husniyah Ahmad Zahidi, 24, pula berkata, penggunaan kit ujian penting sebagai persediaan dirinya yang terpaksa keluar bekerja hampir setiap hari.

“Saya berjumpa dengan orang ramai setiap hari. Jadi risiko untuk berdepan dengan pembawa wabak Covid-19 adalah tinggi.

“Jadi, saya memang sudah simpan satu kit ujian di rumah untuk digunakan sekiranya mempunyai simptom Covid-19,” katanya.

Seorang pesara guru, Zalena Mohd Noor, 55, berkata, penggunaan kit ujian itu dapat mengelakkannya daripada pergi ke tempat orang ramai seperti di klinik atau hospital untuk membuat ujian Covid-19.

“Dengan adanya kit ujian ini, ia menjadi lebih mudah terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan kerana harganya juga berpatutan,” jelasnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini dilaporkan berkata, individu yang menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 perlu melaporkan keputusan sama ada positif, negatif atau tidak sah melalui aplikasi MySejahtera.

Stok kit ujian kendiri Covid-19 ‘licin’ dalam tempoh dua hari


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka

 


Sebaran :

Leave a Reply