Aaron-Wooi Yik bawa pulang pingat Olimpik pertama negara

Aaron-Wooi Yik bawa pulang pingat Olimpik pertama negara

TOKYO: Penantian meraih pingat dalam edisi Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir selepas pasangan beregu badminton negara, Aaron Chia -Soh Wooi Yik, merangkul pingat gangsa, hari ini.

Aaron-Wooi Yik mengambil masa 52 minit menewaskan pasangan Indonesian Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14, dalam penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza, di sini, lapor Bernama.



Set pertama menyaksikan persaingan sengit antara dua beregu terbabit sebelum Aaron-Wooi Yik mengambil kesempatan mendahului 11-9 sebelum berehat.

Sejurus permainan bersambung, pasangan Indonesian merancakkan serangan untuk kembali mendahului kepada 12-9 dan kekal mendominasi sehingga tamat set pertama dengan kemenangan 21-17.

Pada set kedua, Aaron-Wooi Yik bermula dengan baik dan mendahului 5-3 tetapi kesilapan demi kesilapan dilakukan mereka membolehkan lawan mendahului 11-7 sebelum permainan direhatkan dalam set itu.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah menyerah kalah dan cuba mengejar serta berjaya menyamakan kedudukan pada mata 12-12.



Sejak itu, mereka tidak mengekori lawan dan terus beraksi dengan baik untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas memenangi set kedua 21-17.

Dalam set penentuan, dengan keyakinan yang meningkat beregu Malaysia itu sentiasa mendahului lawan sejak mereka mendahului 1-0 dan seterusnya.

Setelah mendahului 11-7 sebelum waktu rehat, mereka hanya membenarkan wakil Indonesia itu memperoleh tujuh mata sebelum menamatkan set penentuan itu dengan 21-14 menerusi smesy kemenangan Aaron.

Aaron dan Wooi Yik menjerit kegembiraan selepas memenangi perlawanan itu sebelum berbaring di atas gelanggang bagaikan tidak percaya dengan kejayaan dicapai.



Kedua-dua mereka juga kelihatan menitiskan air mata kegembiraan semasa meninggalkan gelanggang.

Sudah pasti bukan mereka berdua merasai kegembiraan itu tetapi semua rakyat Malaysia juga semestinya teruja meraikan pingat pertama negara dan berharap ia merupakan satu titik permulaan untuk kemunculan pingat seterusnya daripada kontinjen negara.

Bagi Aaron-Wooi Yok yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, kemenangan ini juga sebagai membalas dendam kekalahan 16-21 dan 19-21 di tangan beregu Indonesia itu semasa pertemuan mereka dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Isnin lepas (26 Julai).

Kemenangan ini merupakan kemenangan kedua Aaron-Wooi Yik ke atas beregu Indonesia itu dalam sembilan perlawanan sejak perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018.



Aaron-Wooi Yik yang mengejutkan beregu pilihan utama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir Khamis lepas (29 Julai) gagal mara ke final selepas tewas 22-24, 13-21 kepada beregu pilihan ketiga dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dalam perlawanan separuh akhir, pada Jumaat (30 Julai).

Juara Dunia 2019 Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan kecundang 11-21, 10-21 kepada beregu nombor tiga dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. FMT

Aaron-Wooi Yik bawa pulang pingat Olimpik pertama negara


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Buktikan sokongan majoriti di Parlimen jalan terakhir PM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker