Kerajaan PN kian goyah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Peri­katan Nasional (PN) goyah selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita de­ngan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan mem­batalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Kegagalan kerajaan mendapatkan perkenan Yang di-Per­tuan Agong ketika membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu mengundang krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan membelaka­ngi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini kali pertama dalam sejarah sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong menyatakan rasa amat dukacita terhadap kerajaan.

Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita kerana tindakan kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat selepas dimasyhurkan sepanjang tempoh darurat belum lagi diperkenankan baginda.

Seri Paduka turut menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa maj­lis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cada­ngan pembatalan semua Ordi­nan Darurat dibentang dan di­bahaskan di Parlimen bagi tu­juan diungkaikan, tetapi tidak dilaksanakan.

Tegas Al-Sultan Abdullah, per­mohonan pembatalan semua Or­dinan Darurat dilakukan tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan dan gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

Penzahiran rasa amat dukacita itu meningkatkan tekanan kepada kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pihak menggesa beliau menghadap Seri Paduka untuk memohon ampun dan memberi penjelasan.

Pada masa sama, pelbagai pi­hak terutama pembangkang me­minta Perdana Menteri dan Kabinetnya berundur kerana te­lah hilang kepercayaan.

UMNO yang menjadi rakan se­­kutunya dalam kerajaan turut meminta Perdana Menteri, Takiyuddin meletakkan jawatan secara terhormat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO amat kesal dengan tin­dakan kerajaan pimpinan Muh­­yiddin mengingkari titah Al-Sultan Abdullah yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas­kan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan

Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyifatkan institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang juga titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia.

Kewajipan kerajaan adalah patuh titah Yang di-Pertuan Agong

Dalam pada itu, di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa majoriti ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.

Beliau turut mendesak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Takiyuddin meletak jawatan secara terhormat sehingga menimbulkan ketegangan dalam dewan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula meminta Muhyiddin supaya bertanggungjawab atas dakwaan sengaja berbohong kepada Parlimen berkenaan pembatalan ordinan darurat dengan meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, pakar Perlembagaan, Aziz Bari berkata, kerajaan tidak menghormati kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sehingga Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Md. Akbal Abdullah berkata, titah Seri Paduka itu secara langsung menjejaskan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan membawa satu isyarat bahawa kepemimpinan sedia ada perlu berundur secara terhormat.

Menurut beliau, jika Muhyid­din meletak jawatan, maka kedudukan kerajaan kini jatuh dan ia mengulangi krisis politik pada awal

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kenyataan Istana Negara itu seolah-olah mencerminkan kekecewaan Seri Paduka terhadap sikap kerajaan yang mem­belakangkan institusi beraja dan Parlimen.

“Langkah itu bakal memberi ruang kepada UMNO sebagai sebahagian Kerajaan PN untuk mengubah sokongan sekali gus mendatangkan kesan kepada kedudukan Perdana Menteri,” katanya.

Bagi Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Salleh Buang, Muhyiddin perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memberi penjelasan dan membuat permohonan maaf berhubung keputusan pembatalan Ordinan Darurat.

Katanya, Muhyiddin sete­rusnya perlu membentang Ordinan Darurat di Dewan Rakyat supaya ahli Parlimen boleh membuat membahas semula dan membuat keputusan sekiranya keadaan kembali pulih.

Sementara itu, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Muhyiddin boleh membuat rombakan Kabinet dan membentuk kerajaan campuran sebagai pilihan untuk mengukuh­kan kestabilan politik.

Permansuhan Darurat. Kuasa siapa ? [Video]

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata, Perdana Menteri dan jemaah Kabinet mesti meletakkan jawatan dalam kadar segera kerana telah bertindak derhaka terhadap institusi diraja.

Ujar beliau, kerajaan PN bukan sahaja mencemarkan pe­ranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, malah mencabul Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Sementara itu, sekutu kuat PN, Pas berdiri teguh bersama Muhyiddin dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan Kabinet.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tegas mendukung sistem Raja Berperlembagaan di dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Petang semalam, kediaman Perdana Menteri, di Bukit Damansara sekali lagi menjadi tumpuan media apabila didapati beberapa kenderaan rasmi memasuki kawasan tersebut.

Difahamkan, sebuah kende­raan rasmi dipercayai membawa seorang menteri dilihat memasuki kawasan tersebut pada pukul 1.15 petang.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150 (2B) dibawa dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka.

“Justeru, Seri Paduka menegaskan bahawa kenyataan Menteri di Parlimen adalah tidak tepat dan telah mengelirukan semua ahli Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN

Kerajaan PN kian goyah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Percanggahan kerajaan, istana, hakis kepercayaan rakyat

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker