[VIDEO] Pesawat Ringan Mendarat Cemas di PLUS

 

KULAI – Dua juruterbang pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza B5045B terselamat ketika melakukan pendaratan cemas selepas mengalami kerosakan teknikal pada bahagian enjin.

Pesawat buatan Amerika Syarikat itu membuat pendaratan dengan selamat di Kilometer 49 Lebuh Raya Utura-Selatan (PLUS) arah selatan sebelum susur keluar Tol Sedenak kira-kira pukul 11.13 pagi tadi.

Juruterbang pertama, Dr. Yang Kuang Ying, 52, dan pembantunya, Saleehullah Abdul Majid, 41, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mereka merupakan warganegara Singapura.

Difahamkan, pesawat itu memulakan penerbangan dari Seletar, Singapura ke Senai, dekat sini awal pagi tadi.

Rekod penerbangan mereka di negeri ini direkodkan pada pukul 10.50 pagi dari Senai menghala ke Melaka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd. Yusof berkata, siasatan awal mendapati pesawat mengalami kerosakan pada bahagian enjin sebelum membuat pendaratan cemas.

“Selepas beberapa minit berlepas pada pukul 11.05 pagi juruterbang terdengar satu letupan kecil berlaku pada bahagian enjin ketika berada di ketinggian kira-kira 5,000 kaki.

“Mereka berlepas dari Senai menuju ke Melaka dan terpaksa berpatah balik selepas berlaku masalah teknikal pada bahagian enjin pesawat sebelum melakukan pendaratan cemas.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, usaha mendapatkan komen juruterbang tidak berhasil kerana mangsa enggan ditemui selain kelihatan masih trauma.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker