Lupakan pelaburan asing selagi tiada kestabilan, kredibiliti – Rafidah

Lupakan pelaburan asing selagi tiada kestabilan, kredibiliti – Rafidah

Bersandarkan pengalaman berdekad dalam menarik syarikat antarabangsa ke Malaysia, Rafidah Aziz cukup memahami pentingnya kestabilan politik kepada pelabur asing dan bimbang Putrajaya semakin kecundang dalam keupayaan menarik modal luar bagi memulihkan ekonomi negara.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pelabur akan membawa wang modal mereka ke negara yang mempunyai “kerajaan yang boleh diharapkan oleh rakyat dan warga asing dan kerajaan yang menghormati demokrasi berparlimen serta tidak bertindak senyap-senyap”.

“Mereka (akan) menghadiri seminar anda, mereka makan jamuan tengah hari anda atau tidak, kemudian menasihati lembaga pengarah atau pengurusan atasan syarikat untuk tidak melabur,” kata Rafidah yang ketika berada dalam kerajaan telah mengetuai pelbagai misi perdagangan yang berjaya menarik syarikat gergasi seperti Samsung, Intel dan American Express, melabur di Malaysia.

Isnin lalu, sidang khas Dewan Rakyat dikejutkan dengan pengumuman bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada Jemaah Menteri mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Putrajaya turut dituduh sebelum ini mengusulkan perisytiharan darurat untuk mengelakkan Dewan Rakyat bersidang bagi melanjutkan jangka hayat kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai majoriti rapuh dalam kalangan Ahli Parlimen.

Meskipun dengan keadaan darurat yang berlangsung sejak Januari, wabak Covid-19 semakin meruncing dengan ribuan kes positif dicatatkan setiap hari dan kematian mencecah 8,408 orang setakat semalam.

Pada masa sama, kredibiliti kerajaan semakin dipertikaikan, manakala keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri terus dipersoalkan.

“Apabila berbicara tentang pelaburan, ini banyak berkait dengan kredibiliti kerajaan, kredibiliti birokrasi, kredibiliti penguatkuasaan undang-undang kita. Apabila kita ada semua ini, pelabur tidak ragu-ragu untuk menanam modal di negara ini,” kata Rafidah.

Beliau berkata, penjawat awam dari zaman beliau mengetuai kementerian turut menyedari kemerosotan sikap bangga terhadap perkhidmatan awam seperti yang dianjurkannya dahulu.

Katanya, ada penjawat awam yang pernah bekerja dengannya menyatakan kekesalan mereka atas apa yang sedang berlaku hari ini.

“Mereka hantar pesanan teks kepada saya, ‘Apa yang sedang berlaku? Kita bukan macam ini dulu.’ Ini adalah penjawat awam, bertanya kepada saya kenapa keadaan berubah sampai begini.”

Mengenai Pelan Pemulihan Negara yang digubal kerajaan untuk membawa negara keluar daripada kekusutan akibat Covid-19, Rafidah berkata, pelan itu tidak jelas dalam menetapkan hala tuju untuk membangunkan semula ekonomi negara.

Sekarang adalah masa untuk menangani gangguan ke atas pendidikan dan cara kerja, katanya, sekali gus memberi amaran bahawa kelewatan bertindak akan menambah kesengsaraan rakyat.

“Kita mesti ada sikap berpandukan peribahasa ‘Sediakan payung sebelum hujan’. Contohnya, apabila lihat langit bertukar gelap, anda mesti bersedia untuk hari hujan. Anda tutup tingkap, bawa masuk pakaian yang dijemur di luar.

“Jika tidak, jika anda nampak langit gelap dan tidak pedulikannya, apabila hujan turun, semua pakaian yang telah kering dijemur akan basah semula,” kata Rafidah.

Beliau menggesa kerajaan mendapatkan maklum balas pakar dan persatuan perniagaan yang mempunyai buah fikiran bernas.

“Jika mereka (kerajaan) tidak mengendahkan maklum balas ini dan mahu bertindak ikut selera sendiri, silakan. Malangnya, pendekatan sebegini akan menyebabkan negara terus tergelincir,” kata Rafidah. FMT

Lupakan pelaburan asing selagi tiada kestabilan, kredibiliti – Rafidah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Gagal Raih Mata Tertinggi, Pandelela Sebut ‘Babi’ (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker