Pil Ivermectin laris menjadi buruan
Pil Ivermectin laris menjadi buruan
Putrajaya: Semakin banyak bungkusan kurier mengandungi pil Ivermectin diseludup dari luar negara dirampas di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber berkata, kebanyakan bungkusan berisi pil Ivermectin itu dirampas selepas dibawa masuk tanpa permit sah selain diragui ketulenannya.
Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penjualan tidak terkawal pil Ivermectin yang didakwa berupaya menyembuhkan jangkitan Covid-19 dengan pantas.
“Susulan itu KKM bimbang penyalahgunaan dan kesan sampingan pil itu dengan mengetatkan kawalan import pil Ivermectin di pintu masuk seluruh negara.
“Buat masa ini KKM mengambil tindakan tegas dengan memastikan produk ini tidak bolos melalui pintu masuk utama ke negara ini susulan salah faham berhubung penggunaan Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19.
“Pengimportan produk siap Ivermectin yang dibenarkan adalah yang mematuhi peruntukan akta dikuatkuasakan mengikut Akta Racun 1952, dan peraturan-peraturan serta Akta Jualan Dadah 1952 dan peraturan-Peraturan kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Melalui arahan rasmi dikeluarkan KKM, pengimportan bahan mentah Ivermectin untuk kegunaan rawatan manusia adalah tidak dibenarkan dan perlu ditahan selaras dengan polisi KKM yang membenarkan hanya untuk tujuan ujian klinikal sahaja,” katanya.
Menurutnya, kos murah dan keuntungan berlipat kali ganda dipercayai menarik perhatian sindiket untuk membawa masuk pil Ivermectin secara besar-besaran sebelum dijual ke pasaran tempatan.
Harian Metro pada 19 Julai lalu mendedahkan penyebaran maklumat di media sosial mendakwa pil Ivermectin mampu melawan jangkitan virus covid-19 menjadi punca kemasukan dan penyeludup pil itu dari luar negara.
Walaupun perkara itu masih di peringkat kajian klinikal, ramai yang berusaha membeli dan mendapatkan pil pembunuh cacing ini yang secara dasarnya bekerja di bahagian saluran pencernaan dan tidak diserap tubuh.
Akibatnya pil Ivermectin ini berharga sekitar 50 sen sebiji (sebelum pandemik Covid-19) sebaliknya dijual pada harga mencecah RM5 sebiji.
Sementara itu Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang meminta masyarakat menunggu sehingga keberkesanan Ivermectin merawat Covid-19 dibuktikan dalam ujian klinikal KKM.
Menurutnya, rakyat tidak perlu tergesa-gesa menggunakan ubatan itu walaupun ada ‘cakap-cakap’ yang menyatakan ia mujarab merawat Covid-19.
Menurutnya, penggunaan sebarang ubat perlu bersandarkan kepada data ujian klinikal supaya tidak mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan.
“Jika ujian klinikal tidak dijalankan dan Ivermectin diguna dengan meluas, pastinya KKM akan dipersalahkan kerana gagal mengawal penggunaan ubat itu,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, negara mempunyai prosedur tersusun dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) perlu untuk menjamin keselamatan penggunaan Ivermectin.
“Jangan disebabkan taksub, ada pihak mengambil kesempatan menjual ubat itu pada harga tidak munasabah kerana permintaan tinggi diterima,” katanya.
KKM sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19, jika ada bukti kukuh yang menjelaskan keberkesanan dan kesan sampingannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara off label (ubat di luar indikasi tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab) sehingga kajian menyeluruh dijalankan.
Ivermectin adalah ubat antiparasit yang dikenal pasti dari tahun 70-an dengan kesan antiviral bagi membunuh cacing dalam tubuh. HM
Pil Ivermectin laris menjadi buruan
Baca Artikel Menarik :
- Najib rayu doktor kontrak tidak mogok
- Tukar kepada hamba rakyat
- Kami hanya ambil 3% sumbangan bayar kakitangan – Nadir
- Luahan hati Kunan setelah tidak didapati bersalah dan pendakwaan terpilih Mahathir
- Ebit Liew menjawab fitnah, tiada satu pun tabung dibuka [VIDEO]
- Resepi Mee Rebus Daging Sedap Betul