Saya dihadap ke mahkamah kerana tak dengar kata Mahathir

Sebaran :

Saya dihadap ke mahkamah kerana tak dengar kata Mahathir

Bekas menteri persekutuan yang dibebaskan daripada dakwaan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan mendakwa, beliau dihadapkan ke mahkamah selepas enggan menerima nasihat Dr Mahathir Mohamad agar keluar Umno.

Sambil menyifatkan menjadi mangsa dakwaan terpilih, Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata bekas perdana menteri itu dalam beberapa keadaan memujuknya meninggalkan parti dan menyertai “pengkhianat”, merujuk kepada Bersatu.

“Persoalan kenapa saya diheret ke mahkamah memang bukan lagi rahsia. Saya adalah antara mangsa pendakwaan terpilih apabila enggan mengikut arahan dari Tun (Mahathir). Bukan sekali pelawaan yang bertukar jadi pujukan dan kemudian arahan untuk saya meninggalkan Umno serta menyertai “pengkhianat” bangsa.

“Akhirnya ugutan sekiranya saya enggan tunduk bertukar menjadi realiti apabila saya didakwa di mahkamah atas alasan yang diada-adakan,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, sekiranya memilih bersama Bersatu, beliau berkeyakinan mendapat laba politik menerusi lantikannya sebagai menteri dalam kabinet diketuai Mahathir.

“Saya tahu… andainya saya memilih bersama parti Tun, jawatan menteri telah sedia ada untuk saya, malah kes pendakwaan saya di mahkamah juga tentu akan digugurkan sekelip mata. Bukankah itu yang berlaku dalam pentadbiran Tun melalui kerajaan PH apabila membela pemimpin DAP,” katanya.

Beliau merujuk kepada kes membabitkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah tinggi daripada tuduhan rasuah sedangkan perbicaraan kes itu sedang berjalan dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.

Katanya, beliau didakwa dengan tuduhan rasuah bernilai RM2 juta yang disifatkan “wang itu terlalu kecil”.

“Malah, sewaktu saya dilantik sebagai timbalan menteri di JPM (Jabatan Perdana Menteri) pada 2000, saya telah mengisytiharkan nilai aset saya berjumlah RM980 juta ketika itu sehingga Tun sendiri terkejut,” katanya.

Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap Tengku Adnan atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta.

Mahkamah menerima rayuan tertuduh dengan alasan, jumlah yang didakwa diterima rasuah itu adalah satu bentuk derma politik. FMT

Saya dihadap ke mahkamah kerana tak dengar kata Mahathir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Politik durjana diwarisi PN dari PH – Shahrir


Sebaran :

Leave a Reply