Hospital penuh, petugas lelah

Hospital penuh, petugas lelah

Oleh Nur Zahanim Muhammad Zahir

Hospital penuh, petugas lelah
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat keletihan selepas membawa keluar warga asing menaiki bas dan van untuk dibawa ke pusat kuarantin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kawasan tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 MEI 2020.

SEMAKIN hari kes Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan. Kita semakin jauh untuk mengulang kejayaan pada tahun lepas dengan mencatat kes bawah angka 10. Keadaan semakin tenat terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dan Labuan. Empat buah negeri (dan wilayah) ini mencatatkan peningkatan kes melebihi kapasiti maksimum hospital di setiap negeri tersebut.

Kes pula telah mencecah lima angka dan pada tanggal 15 Julai 2021, Malaysia telah pun mencatat kes tertinggi sebanyak 13,125. Ia ibarat mimpi ngeri buat negara. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pernah berkata, “Jika ia (kes semakin meningkat) berterusan, sistem kesihatan akan lumpuh dan seterusnya situasi sama akan berlaku di seluruh negara.”

Baru-baru ini pula tular di media sosial keadaan yang sangat sesak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Gambar yang tular menunjukkan situasi hospital tidak lagi kelihatan seperti hospital. Ada katil yang perlu diletakkan di kawasan kaki lima hospital, malah ada juga pesakit yang hanya mampu dirawat di atas kerusi sahaja.

Ditambah pula tempat untuk meletakkan mayat Covid-19 juga sudah kehabisan. Penambahan kontena untuk dijadikan tempat simpan mayat sudah dibuat namun keadaan ini masih berlaku. Hal ini kerana, semakin hari semakin bertambah bilangan kematian. Benar dan sebenar-benarnya, hospital kita kini berada dalam fasa kritikal.

Katil tidak cukup

Keadaan semakin parah apabila HTAR juga sekarang kekurangan katil. Pesakit perlu menunggu selama dua hari di atas kerusi untuk mendapatkan rawatan dan katil yang kosong. Malah para barisan hadapan juga terpaksa berdepan dengan masalah kekurangan katil di ICU. Malah lebih malang lagi, pasukan untuk menguruskan pesakit ICU juga sudah tidak mencukupi.

Akhirnya petugas kesihatan yang kurang cekap terpaksa dihantar menguruskan pesakit ICU. Selain itu, pihak hospital perlu membuka katil ICU di tempat yang tidak sepatutnya seperti di bilik pembedahan dan wad wad lain. Keadaan yang sesak di hospital juga tidak mampu untuk menampung bilangan katil lagi. Jika ada pihak yang mahu menyumbang katil kepada hospital, perlu difikirkan tempat lain yang boleh dijadikan hospital sementara untuk merawat kes Covid-19 ini.

Namun, apa maknanya mendapat tempat baru jika pasukan untuk merawat pesakit juga sudah tidak mencukupi? Sadis sekali situasi ini berlaku di negara ini. Adakah sistem kesihatan negara sedang menuju fasa kelumpuhan?

Barisan hadapan perlu buat pilihan

Paling menyedihkan, para barisan hadapan perlu membuat pilihan untuk memilih pesakit yang mana hendak di rawat di ICU dek kerana kekurangan katil dan peralatan ICU. Pesakit yang punya banyak harapan biasanya yang mana masih muda selalunya dipilih dan terpaksa melupakan mereka yang sudah berusia.

Sedih bukan? Ya itulah yang berlaku, realitinya di Malaysia kini. Kalau dulu kita terkedu melihat situasi di Itali, Indonesia dan India, sekarang kita mungkin terduduk melihat situasi seperti ini berlaku di negara sendiri. Pandemik ini bukan sahaja terkesan kepada pesakit Covid-19, malah kepada pesakit lain yang tiada kaitan dengannya. Jadual pembedahan terpaksa ditunda, bilangan pesakit yang perlu dimasukkan ke wad juga perlu dihadkan.

Hal ini kerana untuk menjaga keselamatan semua pihak. Para petugas kesihatan juga tidak punya banyak pilihan. Paling utama buat masa ini adalah untuk merawat pesakit Covid-19. Jika tidak dirawat, orang lain pula akan terjangkit.

Petugas kesihatan semakin lelah

Terbaru, tular video seorang petugas kesihatan jatuh ketika menolak katil pesakit di sebuah pusat kuarantin di Selangor. Sungguh menyedihkan apabila menyaksikan video itu. Dengan PPE yang tebal dan panas itu, mereka perlu berusaha menyelamatkan nyawa manusia. Kita juga sering dihidangkan dengan video dan gambar yang menunjukkan kelelahan para petugas kesihatan ini. Saban hari mereka dihujani dengan kes yang banyak dan perlukan perhatian.

Pesakit Covid-19 yang perlu dirawat di hospital biasanya sudah berada di tahap kritikal, kesemuanya memerlukan rawatan dan penjagaan rapi. Pernah juga wujud keadaan di mana hospital tempat rawatan pesakit sudah kehabisan stok ubat. Kehabisan oksigen. Kehabisan semua benda penting untuk merawat. Lalu bagaimana?

Tekanan yang dihadapi barisan hadapan ini bukan ‘kaleng-kaleng’, bukan sandiwara lagi. Mereka berusaha sehabis mampu untuk merawat. Pernahkah kita membayangkan kita di tempat mereka? Saban hari mereka perlu menyarung PPE yang pastinya tidak memberi keselesaan kepada kita. Mereka perlu menghadap pesakit yang seperti tiada harapan sembuh tapi perlu terus memberi harapan.

Sedarlah kita bahawa para petugas barisan hadapan terutama di bidang kesihatan ini telah berkorban sehabis daya untuk memerangi Covid-19 ini. Mungkin kita hanya dikurung dirumah disebabkan PKP yang separuh masak ini, tapi ingatlah kelelahan para frontliner tidak tertanggung. Antara kita mungkin ada yang rileks di rumah sambil menonton Netflix. Mungkin stres kita yang sedikit itu masih boleh dikawal dan dirawat, tapi mereka tidak punya pilihan lain kecuali berdepan dengan situasi sukar ini.

Ayuh kita lakukan bahagian kita

Sebagai rakyat, kita ada hak menyalahkan pihak kerajaan yang kelihatan seperti tidak berfungsi dengan baik dan dianggap zalim yang hanya pentingkan kuasa daripada rasa. Namun jangan kita lupa tanggungjawab sendiri untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah digariskan. Setiap daripada kita perlu berusaha bersungguh-sungguh menjaga diri dan keluarga supaya tidak terjangkit dengan virus bahaya ini.

Dunia sedang diserang virus yang sangat berbahaya, tidak nampak di mata namun ia ada. Pandemik ini adalah benar, ini adalah urusan hidup dan mati. Jika terjangkit, terlalu banyak prosedur yang perlu dilalui. Pengalaman bekas pesakit Covid-19 juga ada memberitahu kesan sampingan virus ini lama dan memakan masa.

Masih ada bekas pesakit walaupun sudah lama bebas daripada wabak ini tetapi masih bergelut untuk mendapatkan kembali deria rasa contohnya. Sekali kita terjangkit, kita bukan sahaja telah menyusahkan diri sendiri malah menambah beban kepada para petugas kesihatan juga.

Pemimpin juga harus berbuat sesuatu. Tolonglah kembali kepada realiti. Tolonglah buka mata hati, nampak apa yang terjadi. Berusahalah untuk merubah keadaan sekarang kepada yang lebih baik.

Semua orang sedang menderita, baik dari segi emosi dan fizikal. Terkurung dalam rumah hampir setahun setengah lamanya, namun hasilnya masih tidak kelihatan. Berhentilah mengejar pangkat dan harta duniawi. Jawatan itu akan jadi sia-sia jika tidak dilaksanakan dengan penuh amanah. Rakyat menderita tapi ada pemimpin yang tidak cakna, tidak serius dan bahkan lupa fungsinya seperti tiada apa-apa.

Itukah pemimpin yang kita mahukan? Jika masih tidak berubah, sedarlah, rakyat akan ubah. MG

Hospital penuh, petugas lelah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Politik durjana diwarisi PN dari PH – Shahrir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker