Berubah sikap sebelum maut disengat tebuan

Berubah sikap sebelum maut disengat tebuan

DUNGUN – Sepasang suami isteri tidak menyangka perubahan perilaku anak lelaki mereka daripada yang sukar mendengar kata kepada budak patuh arahan rupa-rupanya petanda kematian nya akibat disengat tebuan di Kampung Minda, Hulu Dungun dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Rayyan Fitri Mohd. Nazuki, 11, meninggal dunia selepas tangan kanannya disengat tebuan sewaktu bermain telefon bimbit dengan kakaknya, Khalis Najla, 13, di bilik tidurnya pada pukul 2 petang.

Bapanya, Mohd. Nazuki Mat Jusoh, 42, berkata, permata hati­nya, Rayyan Fitri yang sebelum ini sukar disuruh tiba-tiba berubah menjadi anak yang patuh arahan dia dan isterinya.

“Kalau dulu suruh tidur atau mandi memang liat sikit, bia­salah anak lelaki tetapi sejak akhir-akhir ini dia patuh sahaja. Tak sangka itu petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Rumah Mayat Hospital Dungun di sini semalam.

Menceritakan kejadian me­nimpa Rayyan Fitri, Mohd. Nazuki berkata, dia baru pulang dari solat Jumaat sewaktu anak ke­dua daripada tiga beradik ber­kenaan disengat tebuan.

“Sengatan itu membuatkan dia menangis sebelum menjadi lemah dan tiba-tiba rebah tidak lama kemudian.

“Saya sempat menyambut badannya sebelum memandikannya selepas anak saya me­ngadu badannya panas dan sakit kepala,” ujarnya.

Mohd. Nazuki berkata, dia dan bapa mentuanya, Sudin Ripin, 63, kemudian bergegas membawa Rayyan Fitri ke Klinik Kesihatan Bukit Besi untuk mendapatkan rawatan.

Begitupun, dia berkata, hati­nya luluh apabila pegawai perubatan mengesahkan anak lelakinya te­lah meninggal dunia sebaik tiba di klinik itu.

Dalam pada itu, Mohd. Nazuki memberitahu, kejadian disengat tebuan bukannya pertama kali menimpa ahli keluarganya.

Jelasnya, pada tahun lalu, anak bongsunya, Darwisy Ihsan, 7, juga pernah disengat tiga ekor tebuan tetapi terselamat selepas mendapat rawatan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah memberitahu, bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat disengat tebuan. -K! ONLINE

Berubah sikap sebelum maut disengat tebuan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

 

Banjir Jerman: 110 disahkan maut, 1,300 hilang [VIDEO]

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker