Mengapa surah Yasin dikatakan sebagai jantung al-Quran ?

Mengapa surah Yasin dikatakan sebagai jantung al-Quran ?

Walaupun tidak ada hadis yang menyatakan tentang kelebihan membacanya namun ada beberapa hadis yang sering digunakan oleh ulama tafsir. Misalnya Ibn Katsir dan Al-Qurtubi menggunakan hadis yang menyebut Yasin sebagai jantung al-Quran pada permulaan di dalam mentafsirkan surah tersebut.

Hatta Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, ulama kontemporari juga tidak ketinggalan menggunakan hadis itu sebagai pembuka kata di dalam tafsirnya menerangkan tentang fadilat Yasin.



Antara hadis yang sering digunakan adalah seperti, Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya bagi setiap perkara ada jantung (hati)nya sedangkan jantung (hati) al-Quran adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya maka Allah S.W.T. akan menulis baginya dengan bacaannya tersebut, bacaan seluruh al-Quran sebanyak sepuluh kali.”

Hadis itu diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi dalam kitab al-Jami’e as-Sunan beliau, kitab Fadha’il al-Quran di dalam bab Ma Ja’a fi Fadhl Yasin.

Selain itu, ada juga riwayat yang berbeza dengan hadis itu seperti yang dinyatakan oleh An Nasai’e di dalam As-Sunan al-Kubra dengan sanad yang majhul (ketidaktahuan akan keadaan perawinya).



Muhammad bin Abdil’ A’la mengkhabarkan kepada kami bahawa beliau berkata, Mutamir menceritakan kepada kami daripada bapanya daripada seorang lelaki daripada bapanya daripada Ma’qil bin Yasar bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Dan Yasin adalah jantung al-Quran. Tiadalah seseorang itu membacanya menginginkan Allah dan akhirat melainkan Allah mengampuninya. Maka bacalah ia pada orang yang sedang mati.”

Adapun maksud kalimat Mautakum dalam hadis tersebut menurut as-Sinda yang dijelaskan di dalam syarahannya kepada sunan Ibn Majah. Katanya, kepada orang yang sedang mati iaitu seseorang yang sedang nazak atau selepas matinya.

Dalam perbincangan ulama hadis bahawa tidak ada satu pun antara hadis-hadis itu yang bertaraf sahih. Malah ada yang mengatakan ia bertaraf maudhu iaitu hadis yang ditolak.



Fadilatnya boleh diterima

Tetapi apabila dilihat kepada sanadnya iaitu siapa yang meriwayatkan hadis itu, boleh disimpulkan hadis itu ada beberapa darjatnya, ia tidak sampai taraf sahih tapi boleh diterima.

Ada ulama yang mengatakan hadis itu ghorib iaitu hadis yang pelik yang tidak sampai kepada status sahih. Ada juga yang mengatakannya hasan iaitu darjat yang di bawah hadis sahih. Malah ada juga ulama yang mengatakannya hadis daif atau lemah maknanya tidak boleh diterima dalam bab-bab akidah, syarak dan sebagainya tetapi boleh dalam bab fadilat amal.

Dalam hal itu ulama sepakat mengenai hadis tersebut walaupun tarafnya hasan, ghorib, daif atau lemah, tapi boleh lagi digunakan. Hadis tersebut diterima kerana masih disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. tetapi dalam sanad yang lemah maknanya mungkin ada perawinya tidak mencapai darjat sahih.



Hadis itu masih boleh lagi diterima kerana hanya menceritakan tentang fadilat amalan. Selagi hadis itu tidak sampai maudhu maka ia boleh diterima dan boleh digunakan sebagai satu dalil tetapi mesti di dalam ruang lingkup itu saja iaitu fadilat amalan.

Menyentuh tentang maksud jantung al-Quran pula, jantung adalah yang menjadi pusat sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah di dalam hadis.

“Sesungguhnya di dalam badan seseorang manusia itu, ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh badannya, jika ia buruk, maka buruklah seluruh badannya, ketahuilah ia adalah hati (jantung).” HR Bukhari & Muslim.

Dikatakan Yasin itu jantung al-Quran, ramai ulama mensyarahkan hadis itu misalnya Sheikh al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwazi tentang hadis yang diriwayatkan oleh Iman Tarmidzi.



Katanya, dikatakan jantung al-Quran adalah kerana inti dan kesimpulan al-Quran semuanya ada di dalam surah Yasin. Keseluruhan kandungan al-Quran itu ada di dalam surah tersebut.

Jelasnya, surah Yasin adalah surah yang hebat kerana keseluruhan cerita di dalam al-Quran ada di dalamnya. Ada macam-macam kisah yang dirangkumkan di dalam satu surah. Berbanding surah lain yang hanya menyentuh satu atau dua kisah saja tapi Yasin menyentuh banyak aspek.

Yasin dianggap surah yang hebat kerana lengkap menceritakan rislah al-Quran
Sebagai contoh pada bahagian pertama surah tersebut menceritakan tentang risalah Quran, kebijaksanaan, kebenarannya dan Rasulullah yang menyampaikan utusan. Manakala bahagian kedua menceritakan tentang kisah Ashabul Qaryah Antokiyah.

Tidak ada di dalam al-Quran di mana satu surah yang menceritakan kisah yang dicantumkan dengan risalah dan peringatan. Pada bahagian yang lain pula diceritakan juga bukti-bukti kebesaran Allah. Keadaan hari kiamat, gambaran ahli syurga dan neraka serta dalil-dalil tentang hari kebangkitan.



Jantung al-Quran itu juga disebut oleh Imam Al-Ghazali.

“Sesungguhnya, iman adalah dengan mengakui tentang al-Hasyr (hari kebangkitan), an-Nasyr (hari pembentangan amal) yang mana surah Yasin menetapkannya dengan bentuk yang sangat jelas. Maka, surah Yasin adalah jantung al-Quran dengan sebab demikian.”

Pandangan itu disokong oleh Imam Fakhruddin ar-Razi. Kemudian dikukuhkan lagi dengan pendapat dari Imam at-Tibbi,

“Sesungguhnya (surah yasin) adalah jantung al-Quran kerana kandungannya yang mengandungi bukti-bukti nyata, tanda-tanda jelas, ilmu-ilmu kejadian alam, makna-makna yang terperinci, janji-janji yang akan berlaku serta peringatan yang berkesan walau dengan keringkasannya.”

Sebagai kesimpulannya, pada surah tersebut ada segala-galanya, sebuah surah yang hebat berbanding surah yang lain. Sebab itu Rasulullah kata ia adalah jantung al-Quran kerana cukup sempurna berbanding surah yang lain. Wallahu a’lam. Utv


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Beri anak minum racun, suami isteri ditahan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker