20,000 kes Covid-19 sehari diramalkan pakar

20,000 kes Covid-19 sehari diramalkan pakar

Tiga faktor – R0, varian Delta dan kadar vaksinasi – semuanya menjadi petunjuk lonjakan jangkitan Covid-19 kepada 20,000 kes dalam dua minggu lagi, kata seorang pakar virologi yang membuat ramalan itu.

Dr Kumitaa Theva Das dari Universiti Sains Malaysia berkata, ramalan itu adalah senario paling buruk, dengan andaian masih ada rakyat yang teragak-agak mendapatkan vaksin, berdasarkan laporan berita ramai yang tidak menghadiri janji temu vaksinasi mereka.

“Ramai yang bertanyakan sama ada angka yang saya ramalkan ini dibuat secara rambang. Sebenarnya tidak. Apa yang kami lakukan di tempat kerja berdasarkan trend.

“Trend mungkin berubah, tetapi dalam hal ini, trend diramal berdasarkan angka reproduksi atau R-nought (R0),” kata pensyarah kanan kluster infektomik USM itu kepada FMT.

Baru-baru ini, Kumitaa memberitahu FMT, varian Delta hampir mengatasi varian lain dan angka korban mungkin mencecah 200 sehari dalam senario paling buruk, ketika sistem kesihatan menghampiri hadnya.

Kumitaa berkata, tiga faktor – R0, varian Delta dan kadar vaksinasi – diambil kira.

“Varian seperti kereta. Katakan anda mempunyai sebuah kereta yang boleh bergerak sehingga 50 km sejam (km/j) dan ini adalah varian kurang berjangkit, seperti Alpha, dan satu lagi boleh bergerak sehingga 200 km/j, varian lebih mudah berjangkit seperti Delta.

“Walaupun anda diberikan kereta pertama yang bergerak bermula sejam lebih awal, kereta kedua itu mampu mengejar. Ini tidak bermaksud kereta kedua lebih berbahaya, ia cuma mempunyai keupayaan untuk bergerak atau menular lebih pantas.

“Sekarang, bayangkan jika anda mempunyai bonggol had laju atau vaksin di laluan kereta ini. Ada bonggol had laju yang berfungsi lebih baik daripada yang lain, tetapi apapun, ia sentiasa berfungsi untuk memperlahankan kereta.

“Lebih banyak bonggol yang anda miliki, lagi mudah anda memperlahankan kereta itu, memperlahankan penularan virus secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata, varian Delta yang mudah merebak kerana data daripada 64 negara menunjukkan individu dengan strain itu mempunyai 97% peluang menjangkiti orang lain berbanding strain lama. Sekiranya virus lama merebak daripada seorang kepada dua orang, varian Delta akan menular kepada empat orang.

Kumitaa berkata, berdasarkan R0 terkini 1.16, virus itu merebak pada kadar stabil.

“Katakan jika R0 kita ialah 1, mari kita lihat dua situasi. Jika 10 orang dijangkiti pada Isnin, kita jangkakan melihat 10 lagi kes baharu (10 x 1 = 10) pada Selasa. Ini nampaknya boleh dikawal.

“Tetapi, katakan jika 10,000 orang dijangkiti pada Isnin, maka pada Selasa, kita akan melihat 10,000 lagi kes baharu juga (10,000 x 1 = 10,000). Sedikit sukar untuk dikawal.

“Anda terus gandakannya untuk mendapat angka yang diramalkan itu untuk hari berikutnya. Menggunakan R0 terkini = 1.16, sekiranya dua situasi terus berulang, anda akan sedari angka yang diramalkan itu meningkat dengan cepat.

“Tetapi, bukan semuanya kelihatan suram. Lagipun ini adalah angka yang diramalkan dan vaksinasi ialah kunci untuk menurunkan angka itu.

“Bukan sahaja ia menghalang orang ramai daripada dijangkiti dan menjangkiti orang lain, ia akan mengawal jumlah jangkitan dan mengurangkan peluang untuk varian baharu muncul pada masa depan.” FMT

20,000 kes Covid-19 sehari diramalkan pakar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bukalah hati, belanjalah kerajaan – Shahril Hamdan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker