Suami Isteri Terpaksa Menumpang Di Belakang Rumah Kedai Selepas Hilang Kerja

Suami Isteri Terpaksa Menumpang Di Belakang Rumah Kedai Selepas Hilang Kerja

BATU BERENDAM: Bahagian belakang sebuah rumah kedai di Taman Merdeka di sini, menjadi tempat sepasang suami isteri berlindung selepas hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Tiada yang selesa, hanya papan lapis, kanvas dan karpet lama menjadi dinding ‘rumah’ mereka itu, selain sebuah van buruk tersadai di situ dijadikan tempat menyimpan barang.

Kesunyian lorong di kawasan itu menyembunyikan kesusahan dihadapi mereka yang tidak mampu menyewa rumah disebabkan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.

Norhasidah Nasurah, 27, berkata dia dan suaminya, Saini Mohd Amin, 37, masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan sebelum tempat kerja mereka ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, suaminya turut memperoleh pendapatan tambahan dengan mencari barangan lusuh sebelum ini. Tidak mewah, namun pendapatan itu cukup untuk menampung kehidupan mereka berdua.

Norhasidah berkata, mereka sebelum ini menetap di sebuah rumah pangsa, namun terpaksa keluar kerana perlu memberi laluan kepada penyewa baru.

Norhasidah dan suaminya, Saini, sebelum ini masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Norhasidah dan suaminya, Saini, sebelum ini masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Mengakui tidak mahu meminta bantuan keluarga kerana tidak mahu menyusahkan mereka, Norhasidah berkata, ini adalah tempoh paling sukar sejak lapan tahun mendirikan rumah tangga.

“Ini paling susahlah tahun ini. Lapan tahun ini, keadaan sekarang paling tak boleh nak buat apalah… rumah pun tak ada… terpaksa duduk di sini,” katanya ketika ditemui.

Katanya, bukan mereka tidak berusaha mencari kerja, namun dengan keadaan sekarang, ia adalah perkara yang sukar. Namun, katanya mereka enggan mengalah dan masih berusaha mencari dan menjual barangan lusuh walaupun sukar untuk dijual.

Katanya, ada kala mereka terpaksa mengikat perut kerana ketiadaan makanan disebabkan kehabisan wang sehingga dua hari dan mengharap ihsan masyarakat sekitar.

Kesukaran dihadapi mereka sampai kepada perhatian kerajaan negeri yang mengambil tindakan segera menyelamat dan mencarikan tempat tinggal baharu.

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri Melaka, Muhamad Ahyad Abdullah yang mewakili Ketua Menteri memaklumkan, pihaknya akan membantu mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa untuk pasangan itu di kawasan Teluk Mas.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan mendapatkan pekerjaan untuk mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ditemui ketika mengunjungi pasangan itu hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut membantu memindahkan seorang gelandangan mualaf warga emas yang turut tinggal di kawasan berkenaan ke Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebelum ini, berkata kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.

Menurut beliau, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang bagi program Bantuan Bakul Makanan.-Awani

Suami Isteri Terpaksa Menumpang Di Belakang Rumah Kedai Selepas Hilang Kerja


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Miskin bandar terpaksa puasa kerana tiada makanan

Rakyat Tidak Peduli Politik Murahan Tun M, Kelangsungan Hidup Kini Lebih Utama – Zaidi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker