‘Selesaikan sebelum 26 Julai atau kami mogok’

‘Selesaikan sebelum 26 Julai atau kami mogok’ . Kerajaan diberi tempoh untuk menyelesaikan masalah sehingga 26 Julai ini sebelum hartal doktor kontrak dimulakan.

Pencetus idea kempen hartal doktor kontrak, Dr Mustapha Kamal berkata, motif kempen tersebut adalah untuk memperjuangkan nasib doktor di bawah sistem kontrak agar jawatan mereka terjamin dan kesan jangka panjang kepada industri kesihatan.

Katanya, mereka menuntut agar kerajaan beri kami jawatan tetap dan penjelasan terperinci tentang kriteria doktor yang akan diambil sebagai pekerja tetap.



“Pandemik telah menunjukkan betapa pentingnya peranan doktor membantu melawan wabak Covid-19.

“Kami cuba untuk mengadakan sesi perbincangan bersama kerajaan sebelum mengambil tindakan dalam masa tiga minggu sehingga 26 Julai ini.

“Perkara terakhir yang kami ingin lakukan adalah hartal atau mogok. Ini adalah jalan terakhir setelah perbincangan selama lima tahun tidak membuahkan hasil,” katanya.

Tambahnya, kempen itu bukan sahaja menekankan isu kekecewaan dan ketidakpuasan doktor kontrak, tetapi kesannya terhadap rakyat dan sistem kesihatan di Malaysia.



“Isu ini bukanlah berkisar tentang doktor kontrak sahaja malah lebih kepada isu rakyat khususnya, golongan B40 yang tidak mampu mendapat rawatan di hospital swasta kerana kos yang tinggi dan hanya mengharapkan pakar di hospital kerajaan sahaja.

“Kempen ini juga menunjukkan kesan bagaimana sistem kesihatan negara akan terganggu jika ramai doktor yang menamatkan kontrak lalu menceburi sektor lain atau berpindah ke luar negara.

“Kita akan kehilangan banyak bakat yang sebenarnya mempunyai peluang cerah untuk berkhidmat di sektor awam,” katanya.

Dr Mustapha tidak menafikan dakwaan kebanyakan pegawai kesihatan kontrak tiada jaminan dalam kerjaya dan kemungkinan ditamatkan kontrak serta-merta.



“Dalam klausa kontrak kami memang disebut kerajaan berhak menamatkan perkhidmatan dengan memberi notis secara bertulis pada bila-bila masa atau dengan membayar kepada pegawai satu bulan gaji sebagai ganti notis tanpa memberi sebarang alasan.

“Apabila kami tidak ditawarkan sebagai pekerja tetap, maka banyak kelebihan yang kami tidak peroleh seperti tidak boleh ambil cuti belajar dan tidak layak mohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP),” katanya.

Dr Mustapha yang juga pegawai perubatan di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur berkata, tiada jaminan kenaikan jawatan merupakan punca utama hampir lima ke 10 peratus pegawai kesihatan menamatkan kontrak dan beralih arah.

“Saya rasa punca kemarahan kebanyakan doktor adalah kerana tidak boleh naik pangkat menjadi pakar disebabkan kontrak tersebut.



“Oleh itu, harapan saya supaya kempen hartal doktor kontrak ini dapat memberi kesedaran pada masyarakat khususnya tentang kepentingan doktor kontrak terutamanya dalam keadaan pandemik,” katanya.

‘Selesaikan sebelum 26 Julai atau kami mogok’

 


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Annuar patut dikenakan denda lebih tinggi – peguam

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker