Musang King kini emas baharu

Musang King kini emas baharu

Musang king hidangan kayangan? Kerana musang king, ramai yang berbalah namun lain bagi pihak yang mengaut untung atas angin. Mungkin mereka kini yang jadi king hasil usaha haram dijalankan.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tindakan kerajaan negeri Pahang yang mengambil keputusan menebang pokok durian ini yang ditanam secara haram di tanah ceroboh seluas 101 hektar di Hutan Simpan Batu Talam, Raub.

Berapa hasil diperoleh daripada hasil haram ini? Apa manfaat untuk negara dan rakyat?



Ikuti wawancara Naib Presiden 3, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) AZMAN KANG ABDULLAH dengan wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN berkaitan isu ini.

Bagaimana perniagaan durian boleh bantu jana ekonomi negara?

Ia memang hanya durian namun nilai eksport raja buah ini direkodkan lebih tinggi berbanding buah-buahan lain.

Kalau kita lihat semula, pada 2018, nilai eksport durian ke beberapa negara ialah RM118.2 juta.



Bagaimanapun, setahun kemudian iaitu pada 2019, berdasarkan data yang kita ada, menunjukkan pengeluaran durian lebih 350,000 tan bernilai RM6 bilion.

Jika kita lihat semula perangkaan pada 2018 hingga 2020, purata pengeluaran hasil durian lebih 300,000 tan setahun membabitkan pelbagai variasi raja buah.

Dengan jumlah ini, jika sebahagiannya dieksport, pasti banyak hasil diperoleh negara.

Jadi, ini bukan perusahaan perladangan biasa-biasa, malah mampu menyumbang kepada pendapatan negara jika penanaman itu mengikut saluran yang betul.



Jika dibandingkan purata harga dengan variasi durian lain, apakah musang king masih lagi dianggap king?

Jika kita bandingkan, musang king ini berada di tempat kedua purata harga maksimum dalam variasi durian iaitu sekitar RM70 sekilogram berbanding durian duri hitam atau digelar Blackthorn yang masih lagi tertinggi dengan harga lebih RM80 sekilogram.

Selain dua variasi durian berkenaan, antara yang menawarkan harga tinggi adalah udang merah dengan kod buah D168 pada harga sekitar RM40, selepas itu durian IOI dengan harga runcit RM33 dan durian D24, RM32.

Durian kampung yang paling murah iaitu RM17 sekilogram.

Ini purata harga durian di pasaran ketika ini dan memang saya akui, bagi sesetengah variasi, ia hanya untuk orang berduit saja dan golongan kebanyakan pastinya tidak mampu untuk berbelanja besar.

Mana tidaknya, durian berkenaan ditimbang sekali bersama kulitnya dan bukan buah semata-mata.

Dapatan PPMM berkaitan data eksport durian Malaysia?

Durian variasi atau gred tinggi biasanya dieksport dan yang paling tinggi ke Singapura dengan jumlah sekitar 16,000 tan metrik diikuti ke China dengan jumlah sekitar 8,000 tan metrik.

Selain itu, ia dieksport ke Hong Kong iaitu sekitar 4,000 tan metrik, Amerika Syarikat (AS) dengan 745 tan metrik dan Australia dengan anggaran 500 tan metrik.

Jadi jika timbul isu yang berlaku di Pahang, saya kira ia suatu perusahaan menguntungkan dengan nilai pulangan ratusan juta ringgit setahun.

Bagaimana PPMM melihat isu yang berlaku di Raub dan apakah keluasan sebenar tanaman ini menerusi data rasmi?

Untuk lebih mudah, kita buat sedikit ayat matematik dengan nilai anggaran paling rendah.

Baik, kita cuba andaikan harga durian di kawasan berkenaan RM30 sekilogram.

Berdasarkan anggaran naif, satu ekar boleh memuatkan sekitar 30 pokok, kita ambil anggaran paling sedikit dan setiap pokok pada setiap musim boleh mengeluarkan 50 biji dengan berat dua kilogram setiap satu.

Ladang itu sudah beroperasi mungkin lebih sedekad namun kita cuba kira hanya untuk tempoh lima tahun.

Jadi jawapannya RM450,000 untuk satu ekar dan ia anggaran paling rendah saya buat dan saya amat yakin nilainya tidak sekecil itu, malah berganda.

Satu hektar bersamaan dengan kira-kira 2.47 ekar dan jumlah perolehannya RM1.11 juta.

Jika 101 hektar, ia bersamaan kira-kira RM112 juta bagi setiap musim. Perlu diingat, ia hanya anggaran pada harga paling rendah dan jumlah pokok paling sedikit ditanam dalam setiap ekar.

Jumlah RM112 juta itu pula kalikannya dengan berapa musim hasil dituai. Ia pasti jumlah besar dan membantu ekonomi negara jika dijalankan mengikut saluran yang betul.

Itu pula ladang ceroboh yang kita tahu, bagaimana pula dengan lokasi lain yang kita tidak tahu? Perniagaan ini memang menguntungkan, lebih-lebih lagi bagi peneroka haram yang tidak perlu berkongsi hasil melalui saluran betul dan sah.

Untuk rekod, keluasan penanaman durian menerusi data rasmi adalah sekitar 70,000 hektar membabitkan beberapa negeri seperti Pahang, Johor dan Sarawak.

Daripada aspek kepenggunaan, bagaimana isu ini boleh memberi kesan kepada industri pertanian khususnya jualan durian?

Pernah dengar sekilo musang king berharga RM30? Jual apa mahal begitu sekali?

Saya rasa di mana-mana pun, kita akan mempromosi kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia, tapi kalau ini harganya, siapa yang nak sokong.

Isu ini kena pada masanya ketika negara pula bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi.

Pengguna boleh buat pilihan, kalau terlalu mahal, jangan beli. Ada tempat jual lebih murah, atau ada durian daripada jenis lain yang boleh dibeli.

Mungkin selepas kejadian ini, harga akan turun kerana musang king jadi popular sepanjang minggu ini dan durian Raub yang begitu terkenal.

Kejadian ini akan menyebabkan perubahan harga durian di pasaran.

Kalau kita tengok sekarang, ada yang beri cadangan boikot musang king, itu antara kesan operasi kebun haram ini.

Tapi, kita harapkan rantaian industri durian ini akan kembali pada keadaan yang sepatutnya demi manfaat semua.

Bagaimana PPMM melihat isu ladang haram ini menjadi isu perkauman?

Seperti yang saya pernah kongsi di media sosial, mungkin kita tidak sedar, dalam tempoh hampir seminggu dan kerja penebangan tinggal kurang 50 hektar, ramai yang bercakap di Facebook dengan menyalahkan kerajaan dan agensi terbabit.

Pelbagai andaian dibuat, kejam, zalim dan tidak kurang mengaitkan isu perkauman dengan dakwaan operasi itu bertujuan menyusahkan pihak tertentu sedangkan mereka lupa hakikat sebenar, mereka diberi ihsan untuk mengusahakannya sejak puluhan tahun lalu.

Tindakan pihak tertentu menjadikan ini sebagai modal untuk menyentuh sensitiviti perkauman sudah dijangka.

Saya sudah meminta pihak berwajib menyiasat semua hantaran berbaur rasis di media sosial berhubung perkara ini.

Ia tidak sihat terutama dalam konteks masyarakat berbilang kaum bukan saja di Raub, tetapi seluruh negara.

Bagaimana pula dengan unsur politik?

Sama juga. Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa agenda tertentu, mungkin juga ada unsur politik.

Kejadian ada wakil rakyat merentas negeri jauh ke Raub boleh membuktikan perkara itu.

Isunya, ia bukanlah perkara yang baru didedahkan minggu lepas, sudah lama.

Jadi tidak mustahil ada pihak yang menjadikan itu modal menyerang kerajaan negeri, sedangkan isu pokoknya adalah tanah yang diusahakan itu milik kerajaan.

Tetapi saya rasa rakyat faham, sama ada ia isu sengaja disensasikan, dipolitikkan atau bagaimana.

Jika benar ia digunakan untuk motif politik, ia tidak sewajarnya berlaku begitu. HM

Musang King kini emas baharu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ekonomi semakin tenat, menteri kanan makin bertambah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker