Muhkriz kata cadangan Mahathir mampu sejukan suhu politik negara

Sebaran :

 

Muhkriz kata cadangan Mahathir mampu sejukan suhu politik negara. WALAUPUN sehingga kini tidak mendapat respons daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum berputus asa untuk melihat penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) menjadi kenyataan.

Menurut Presiden Pejuang, DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR, MPN yang dirancang untuk mengambil alih kuasa Kabinet sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat sebagai jalan keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi, sosial dan politik ekoran pandemik Covid-19.

Kepada wartawan Utusan MalaysiaZABRY MOHAMAD MADZLAN dan NIZAM YATIM serta jurugambar AMIR KHALID di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau menegaskan, majlis itu perlu diwujudkan segera kerana situasi negara sekarang seolah-olah dalam keadaan buntu dan tidak nampak jalan keluar daripada masalah.

TITAH AGONG

KITA memang sudah kemukakan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Dalam sidang akhbar oleh ayahanda Tun (Dr. Mahathir Mohamad), beliau melaporkan bahawa setelah dikemukakan cadangan itu secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka bertitah, untuk mewujudkan MPN ini perlu datang daripada kerajaan.

MUHYIDDIN SERAH KUASA

Pada pandangan kami, ini susah sikit. Kalau hendak harapkan kerajaan PN untuk mencadangkan MPN, ia bermakna kerajaan (Kabinet) itu sendiri tidak lagi memegang kuasa.

Sebab itu bila ada cadangan untuk kita bincang dengan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya tak ingat (yakin) beliau akan buat kerana perlu menyerahkan kuasa PM kepada orang lain.

BENTANG DI PARLIMEN

Ada juga cadangan perkara ini dibangkitkan dalam Parlimen yang akan bersidang selama lima hari bermula 26 Julai ini untuk dibincang dan boleh dipersetujui.

Itu pun saya rasa agak payah sebab selalunya pemilihan perkara penting yang boleh dibincang, dibahas dan diundi di Parlimen dipengaruhi oleh kepentingan parti.

GULING KERAJAAN

Saya ada bertanya rakan-rakan daripada Pakatan Harapan (PH) dan mereka mencadangkan supaya balik kepada Parlimen, buat undian dan ambil alih kerajaan. Jatuhkan kerajaan PN, dengan PH menjadi kerajaan baharu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM.

Saya bertanya, apa seterusnya? Maksudnya adakah ada perbezaan antara kerajaan sekarang dengan kerajaan PH dari segi sokongan jumlah kerusi dalam Parlimen? Kita fikir pasal benda-benda macam itu, walhal di luar sana rakyat sudah tidak hairan mengenai politik.

RAKYAT TIDAK PEDULI SD

Rakyat tak nak tahu pasal akuan bersumpah (SD) dan tak nak dengar mengenai siapa mendapat majoriti. Yang mereka hendak tahu ialah macam mana kita nak dapatkan vaksin mencukupi untuk mencapai imuniti kelompok.

Macam mana kita hendak pastikan jumlah jangkitan dapat dikurangkan dan menghidupkan semula ekonomi negara supaya pendapatan rakyat kembali meningkat. Itu sebenarnya yang semua orang fikirkan.

Rakyat bertanya, kenapa tak boleh buat ini? Jawapan biasa yang kita berikan adalah kerana kerajaan sekarang ini gagal. Tetapi kita tak boleh pula nak nyatakan, kalau kita tukar kerajaan (kepada PH), kita akan buat lebih baik daripada kerajaan yang dianggap gagal itu.

BEZA MAGERAN

MPN inilah satu pendekatan baharu, sedikit di luar kotak, ada precedent (duluan) tetapi kita tidak menganggap ia (sama) Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ada orang mempunyai stigma mengenainya.

Kali ini walaupun tiada pergaduhan macam 1969 dahulu, tetapi sebenarnya jumlah yang terkorban jauh lebih besar daripada zaman itu tetapi akibat penyakit.

Jadi, keadaan kecemasan itu masih wujud tetapi adakah bermaksud kita perlukan Mageran itu sendiri? Saya rasa tidak. Sebab itu majlis yang kita cadangkan ini dinamakan MPN.

ELAK CAMPUR TANGAN POLITIK

MPN tidak semestinya dianggotai orang politik. Kunci utama adalah untuk kita meletakkan orang-orang yang pakar dalam setiap bidang bagi membuat keputusan.

Masalah kita sekarang, kerana politik kita meletakkan orang bukan pakar dalam bidang berkenaan menjadi pemimpin dalam hal rumit ini. Sebab itu kita tengok keputusan bercelaru. Antara menteri dengan menteri pun boleh berbeza pandangan secara terbuka walaupun selepas mesyuarat Kabinet.

Jadi, keyakinan kepada kerajaan itu sudah tiada sebenarnya. Sebab itu MPN dicadangkan. Saya akui memang akan ada ahli-ahli politik terlibat tetapi mereka tidak akan menjadi majoriti.

Kita akan kecilkan jumlah, jadi tidak perlulah (macam) Kabinet sampai 70 orang, tetapi satu majlis yang betul-betul fokus. Cadangan daripada Tun ini sampai tak bergaji pun.

Beri mandat yang jelas dan kalau boleh tetapkan tempoh waktu. Yang kami nampak sekarang ialah PRU-15 perlu diadakan sebelum Mei 2023. Jadi, boleh ditubuhkan MPN ini segera supaya dalam tempoh waktu sebelum pilihan raya itu kita dapat menangani semua masalah ini.

RESPONS KERAJAAN PN

Saya ingat mereka (kerajaan PN) cuba hendak respons dengan pelancaran Pelan Pemulihan Negara (PPN). Nama lebih kurang sama tetapi itu pelan dan bukan majlis.

Setelah diumumkan, apa yang terkandung dalam pelan itu, baru kita nampak rupanya ada fasa-fasa yang perlu kita lalui dan melibatkan prosedur operasi standard (SOP).

Jadi, itu bukan maksud kami sebenarnya di sebalik MPN kerana ia bukan hanya akan memikirkan soal menangani Covid-19 tetapi juga pemulihan ekonomi dan isu-isu sosial yang sekarang ini macam sudah tidak terkawal termasuk berlaku kes bunuh diri.

SELESAI KEMELUT POLITIK

MPN boleh mencadangkan formula mengurangkan suhu (panas) politik ketika ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

Cuba kita lihat apa yang dilakukan Pengerusi Mageran, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Bukan setakat beliau menangani masalah keselamatan, saya ingat dalam masa tiga hari sudah terkawal dan tidak berlaku lagi pergaduhan. Beliau turut melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menangani isu ekonomi.

Satu perkara lagi yang orang lupa agaknya adalah penyelesaian politik yang dibawa oleh Tun Razak. Beliau nampak hubungan antara parti kerajaan dengan pembangkang sudah sampai ke tahap yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

Jadi, beliau boleh berlapang dada merayu kepada pembangkang untuk menyertai kerajaan. Itu satu formula macam kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh Tun sebelum ini.

Kita tengok kebijaksanaan Tun Razak daripada Parti Perikatan berubah menjadi Barisan Nasional, cuma DAP dan beberapa parti kecil lain sahaja tidak menyertai. Selepas itu wujud keamanan politiklah, kalau saya boleh guna istilah itu selama 50 tahun.

Muhkriz kata cadangan Mahathir mampu sejukan suhu politik negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Asyraf don’t worry, saya di sini kerana UMNO


Sebaran :

Leave a Reply