Muhyiddin kini ada dua pilihan – Peguam

Muhyiddin kini ada dua pilihan – Peguam

Muhyiddin ada 2 pilihan setelah Umno tarik balik sokongan, kata peguam

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai dua pilihan setelah Umno secara rasmi menarik balik sokongan kepadanya, kata seorang peguam perlembagaan.



Bastian Pius Vendargon berkata, Muhyiddin boleh menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan memohon Dewan Rakyat dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum mengejut.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara Agong sama ada hendak membubarkan Dewan Rakyat dan mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Pilihan alternatif katanya, adalah Muhyiddin boleh mendapatkan sokongan Ahli Parlimen yang sekarang ini tidak menyokongnya supaya beliau dapat kekal memegang kuasa.

“Ini disebabkan majoriti tipis yang dimiliki kerajaan Muhyiddin pada masa ini,” kata Vendargon.



Perdana Menteri dipercayai mempunyai sokongan kira-kira 114 Ahli Parlimen berbanding 106 dimiliki pembangkang.

Umno adalah blok terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dengan 38 Ahli Parlimen, walaupun beberapa individu daripada parti itu seperti Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, sebelum ini menarik balik sokongan kepada kerajaan.

Kata Vendargon, jalan lain bagi Muhyiddin adalah mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat untuk “menguji” sama ada beliau mendapat sokongan majoriti.

“Beliau boleh melakukannya jika yakin mendapat sokongan 111 daripada 220 Ahli Parlimen,” katanya.



Vendargon berkata, Muhyiddin akan kekal menjadi Perdana Menteri jika memenangi undi percaya.

“Sesuai dengan Perkara 43 (4), beliau boleh memohon pembubaran jika tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengumumkan bahawa parti itu secara rasmi menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan memintanya meletak jawatan selepas mendapati Perdana Menteri gagal memuaskan garis panduan yang ditetapkan Umno sebagai syarat meneruskan sokongan.

Perkara itu diumumkan Zahid pada sidang media seusai mesyuarat lebih empat jam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, melewati tengah malam.



Vendargon berkata, berdasarkan kenyataan Zahid, nampaknya semua Ahli Parlimen Umno tidak menyokong kerajaan.

“Kita perlu lihat jika ada sesiapa (dalam kalangan Ahli Parlimen Umno) menongkah arus untuk terus menyokong Muhyiddin,” katanya.

Beliau turut menjangkakan tindakan tatatertib akan diambil jika ada Ahli Parlimen Umno yang enggan menuruti keputusan parti. FMT

Muhyiddin kini ada dua pilihan – Peguam




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pekebun haram Musang King peroleh Rm420j semusim



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker