Obses ambil vitamin C sampai rosak buah pinggang
Obses ambil vitamin C sampai rosak buah pinggang . Terpengaruh dengan kebaikan suplemen vitamin C yang mampu mencegah Covid-19 dan memutihkan kulit, seorang gadis kini menanggung derita selepas buah pinggangnya disahkan rosak.
Malah Saidatul Hazirah Parlan, 22, ketika ini mengharapkan hadirnya penderma buah pinggang untuk meredakan penderitaan yang ditanggungnya.
Menceritakan kisahnya itu, Saidatul Hazirah berkata, kesan sampingan daripada pengambilan produk tular iaitu vitamin C berbentuk cecair bersama aloe vera atau lidah buaya adalah salah satu punca dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang sehingga hari ini.
“Kesan sampingan selepas dua bulan pengambilan produk tersebut adalah jantung berdebar dan rasa nak pitam. Setiap kali makan atau minum saya akan muntah.
“Pada masa itu, saya sangka ia bukan punca utama kesan sampingan daripada vitamin C memandangkan saya juga ambil ubat-ubatan yang lain.
“Saya meneruskan pengambilan sehingga sampai satu tahap badan saya tidak boleh menerimanya,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Saidatul Hazirah berkata, dia kemudian dikejarkan ke wad kecemasan selepas berada dalam keadaan yang tenat.
“Keputusan darah saya tidak memuaskan. Ketika itu, keadaan saya amat lemah, kekurangan oksigen dan pucat,” katanya yang telah mengambil suplemen itu sejak tahun lalu.
Ibarat tiada lagi hari esok, Saidatul Hazirah menerima tamparan hebat selepas dimaklumkan oleh doktor bahawa buah pinggangnya telah rosak.
“Fungsi buah pinggang saya jatuh dengan bacaan kreatinin lebih 1,000. Saya juga disahkan menghidap penyakit buah pinggang oleh doktor,” katanya.
Saidatul Hazirah kini menerima rawatan dialisis tiga kali seminggu sejak lebih setahun lalu.
“Leher saya ditebuk untuk proses dialisis. Pada hari yang tidak dilakukan dialisis, badan akan berasa penat dan saya akan berada dalam keadaan yang agak letih. Sekarang ini saya hanya mengharapkan penderma,” katanya.
Selain memberi kesan sampingan terhadap kesihatan, Saidatul Hazirah juga tidak mampu untuk bekerja.
“Saya tidak bekerja kerana saya tidak boleh melakukan pekerjaan yang berat. Jadi kebanyakan syarikat tidak mahu saya bekerja kerana tidak mahu mengambil risiko.
“Buat masa ini, saya terpaksa berniaga sendiri. Namun begitu, ia agak sukar dijalankan oleh kerana faktor pandemik yang kita hadapi ketika ini,” katanya.
Saidatul Hazirah turut menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati memilih produk kesihatan supaya tidak menerima kesan yang buruk sama seperti dirinya.
“Jangan percaya sebarang produk yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak kira vitamin C atau produk overclaim yang selalu mengatakan bahawa produk mereka baik untuk kesihatan.
“Cara terbaik adalah perlu mendapatkan nasihat doktor yang sudah pasti lebih berpendidikan dan lebih arif dalam kesihatan sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan,” katanya.
Obses ambil vitamin C sampai rosak buah pinggang
Baca Artikel Menarik :
- Mesyuarat tertutup Zahid, Ismail Sabri selesai
- Ada apa pertemuan rahsia ahli parlimen UMNO bersama Presiden?
- Nama Mira Filzah Turut Dikecam Hanya Gara-Gara Ibu Mertua [VIDEO]
- Sweet Qismina minta doa cepat dihalalkan
- Pizza Musang King Dapur Kayu Mystreet Kitchen
- Resepi Ayam Goreng Madu Mamak
Layari Laman Facebook MYKMU