Kibar bendera putih: Mengapa perlu perleceh usaha rakyat?

Kibar bendera putih: Mengapa perlu perleceh usaha rakyat? Tindakan memperlecehkan kuasa rakyat adalah berbahaya kerana menjadikannya semakin kuat dan berkembang.

Sebagai contoh, Arab Spring tercetus selepas perlecehan rakyat biasa di Tunisia, di mana perniagaan sayurnya diganggu pihak penguat kuasa.

Akibatnya, perlecehan itu mencetuskan revolusi rakyat dan menular sehingga menjatuhkan lima kerajaan di Timur Tengah.

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, naratif itu jelas menggambarkan suasana yang berlaku di dalam negara ini sekarang.

Beliau berkata, isu bendera putih sehingga mencetuskan pelbagai polemik dalam masyarakat timbul beberapa hari lalu.

Perkara itu menjadi lebih parah apabila ada segelintir pemimpin politik memberi ulasan dan pandangan yang memperlecehkan tindakan itu.

“Apa masalahnya kalau mengibarkan bendera putih? Apakah payah sangat untuk memahami kesukaran sekarang memerlukan apa sahaja cara yang ada bagi membolehkan bantuan segera dapat dihulurkan.

“Tak kiralah dengan apa cara sekalipun. Perlukah hal ini dipolitikkan sebegitu rupa hanya barangkali ia timbul dari minda rakyat yang prihatin dan bukannya orang politik?

“Mengapa perlu memperlecehkan usaha rakyat untuk membantu sesama rakyat?, ” soalnya menulis di Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, rakyat ketika ini bersolidariti menggunakan kuasanya bagi membantu mereka yang memerlukan dan sepatutnya pemimpin perlu bersama mereka.

“Ibarat sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, kenalah sama-sama bertanggungjawab. Kita faham kerajaan sudah banyak membantu.

“Tetapi tetap masih ada lagi rakyat yang terlepas pandang daripada perhatian yang sepatutnya.

“Ingatlah wahai pemimpin, sebelum ini rakyat Malaysia sudah pernah menunjukkan kuasanya. Perlecehan pemimpin terhadap rakyat biasa pernah dihukum oleh kuasa rakyat.

Bercakap mengenai gerakan Pulang Mengundi 2018, Mujibu berkata, rakyat Malaysia ketika itu berpakat melalui platform maya bagi membantu sesama mereka melalui pelbagai cara supaya dapat pulang mengundi.

Ini termasuk berkongsi kereta, menyediakan kemudahan tambang dan bantuan kewangan sehingga menawarkan khidmat membawa balik kertas undi mereka yang berada di luar negara.

Pada masa sama, katanya, rakyat Malaysia ketika itu bersatu tanpa mengira perbezaan.

Beliau berkata, kekecewaan rakyat terhadap pemimpin yang berterusan memperkecilkan kemampuan dan pemikiran rakyat dengan pelbagai perlecehan jelik akhirnya mencetuskan gerakan itu.

“Dalam diam rakyat bersatu dan menggerakkan usaha untuk memastikan semua dapat pulang sekaligus meningkatkan peratusan mengundi.

‘Walaupun spontan dan tidak terancang, gerakan sekecil itu telah berkembang dan membesar dengan pantas yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam sejarah.

“Ingatlah peribahasa, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Jangan nanti disebabkan perlecehan itu, rakyat Malaysia sekali lagi bersatu dan angkat bendera putih ke atas kepemimpinan kamu,” katanya.

Kibar bendera putih: Mengapa perlu perleceh usaha rakyat?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Beri moratorium sewa kepada pengusaha kantin – Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker