Sidang khas Parlimen sebelum Ogos hasrat Baginda – Dipertua Dewan Negara

Sidang khas Parlimen sebelum Ogos hasrat Baginda. Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim akan meyakinkan Perdana Menteri yang juga Ketua Majlis untuk mengadakan Sidang Khas Parlimen sebelum 1 Ogos ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rais berkata, cadangan itu susulan daripada majlis menghadap Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Dalam majlis menghadap ter­­sebut, Seri Paduka telah me­nya­takan hasrat supaya Sidang Khas Parlimen dapat diadakan pada Ogos ini.



“Majlis itu dibuat atas dasar inisiatif usaha Seri Paduka mahu mendapatkan maklumat dan keadaan terkini berhubung Co­vid-19 di sektor Parlimen Malaysia dan bagaimana persiapan untuk persidangan yang dijadual­kan tidak berapa lama lagi.

“Kemungkinan bulan Ogos supaya komitmen Parlimen itu tidak disia-siakan dan diberi kuasa demokratik untuk membincangkan hal berkaitan Co­vid-19,” katanya di sini, semalam.

Dalam majlis menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan

Turut menerima menghadap Seri Paduka ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan beliau serta lima timbalan yang dipertua di Istana Negara semalam agar persida­ngan Parlimen diadakan secepat mungkin.



Jelas Rais, hasrat Seri Paduka itu akan dibawa kepada Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan khas Parlimen berhubung Covid-19.

“Tarikh Sidang Khas Parlimen akan ditakwimkan Perdana Menteri. Mungkin dua hari, mungkin lima hari. Kemudian persidangan biasa akan dibuat pula pada hujung Ogos ini.

“Kami memaklumkan sesi pertama hendaklah dalam bentuk sesi fizikal, bukan hibrid. Ini disebabkan kekangan peraturan mesyuarat dan undang-undang sesi sidang Parlimen. Namun, kami menasihatkan Tuanku dari segi peraturan, Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri hendaklah bertindak menjadikan sesi itu sebagai kenyataan.

Agong kembali titah Sidang Parlimen perlu diadakan segera dengan mengikut SOP



“Kami akan berbincang de­ngan Perdana Menteri untuk melihat tarikh yang terbaik. Tapi ditekankan Agong supaya tidak boleh lewat daripada jangkaan. Kita akan cuba meyakinkan Perdana Menteri supaya persidangan dapat diadakan sebaiknya sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadhil Shamsuddin berkata, sesi menerima menghadap kedua-dua Yang Dipertua berkenaan serta timbalan-timbalan mereka adalah lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lalu.

“Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.



“Perlu dijelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” kata Ahmad Fadil dalam ke­nyataan itu.

Beliau berkata, Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya mena­ngani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Cadangan Dewan Rakyat bersidang sebelum ini turut mendapat sokongan wakil-wakil rakyat yang dianggap pentas terbaik mencari jalan penyelesaian kepada masalah ekonomi dan rakyat yang tertekan setelah pandemik Covid-19 belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih.

Semalam, kes positif ha­rian jangkitan Covid-19 kembali meningkat kepada 6,437 kes dan keseluruhan 745,703 kes.



Sementara itu, Rais berkata, pihaknya turut menyarankan Sidang Khas Parlimen diadakan lima hari secara fizikal, sementara sesi persidangan Parlimen akan berlangsung pada hujung Ogos dan memberi notis 28 hari kepada semua ahli Parlimen.

“Kita harus ingat Agong adalah ketua mercu Parlimen dan Perdana Menteri adalah Ketua Majlis, perlu memberi petua kepada speaker untuk menjalankan majlis persidangan. Namun, dengan adanya titah Tuanku, Perdana Menteri pun perlu memberi penghormatan dan penjelasan yang wajar.

“Setakat ini kami sudah mengutus kepada Pejabat Perdana Menteri. Ia ada dua pilihan, sama ada hantar sahaja surat kepada kami tentang tarikh persidangan khas atau bermesyuarat untuk menentukannya dengan pihak berkaitan,” ujarnya.

Sidang khas Parlimen sebelum Ogos hasrat Baginda – Dipertua Dewan Negara


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Titah Tuanku, Kerajaan PN Jangan Tunggu Lama-Lama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker