Moratorium, Zafrul jamin tiada faedah terkompaun, caj lewat bayar

Moratorium, Zafrul jamin tiada faedah terkompaun, caj lewat bayar. Bank-bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun dan caj penalti lewat bayaran bagi moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ketika menegaskannya, beliau berkata, kerajaan membangkitkan perkara itu dan telah mendapat persetujuan bank-bank dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Buat laporan serta aduan sekiranya pihak bank bertindak menaikkan faedah terkompaun serta caj penalti (ke atas moratorium itu),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan moratorium enam bulan yang diberikan kepada semua peminjam individu yang melibatkan semua peringkat pendapatan.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul turut mengingatkan para peminjam yang berhasrat memohon moratorium itu agar menghubungi bank masing-masing berhubung kaedah bayaran balik berkaitan.

“Setiap bank mempunyai skim berbeza dan anda (peminjam) perlu membincangkan perkara ini dengan bank masing-masing,” katanya.

Beliau juga menyifatkan moratorium di bawah PEMULIH itu dapat membantu kalangan peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguruskan aliran mudah tunai ketika tempoh mencabar pada masa ini.

“Kita telah nasihatkan bank-bank untuk terus memberi kelulusan automatik kepada mereka yang terkesan, termasuk daripada kalangan kategori B40, M40 dan T20,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul juga optimis bahawa sistem kewangan domestik mampu menangani impak susulan langkah penangguhan bayaran balik pinjaman tersebut.

“Berdasarkan perbincangan saya dengan (wakil) bank-bank, mereka juga turut terkesan…namun saya menganggapnya (moratorium) adalah langkah yang diperlukan bagi menyokong keperluan rakyat,” katanya

Moratorium, Zafrul jamin tiada faedah terkompaun, caj lewat bayar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bukan nak tengok anak bulan, bidas Rafidah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker