Pelajar UM keluarga B40 tuntut pulangkan yuran majlis makan malam

Sejumlah kira-kira 7,000 pelajar Universiti Malaya (UM) dari kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) menuntut pihak pentadbiran kolej kediaman memulangkan semula bayaran yuran makan malam sebanyak RM120.

Utusan melaporkan perkara itu dengan memetik Pengerusi Angkatan Mahasiswa UM, Muhammad Ahnaf Mohd Yunus, 23, yang mendakwa yuran makan malam itu dipotong serentak dengan yuran pengajian dan penginapan kolej pelajar pada minggu ketiga semester tahun ini, iaitu kira-kira sebulan lalu.

Muhamad Ahnaf juga mendakwa para pelajar “dipaksa” hadir ke majlis makan malam itu yang menurutnya lazim diadakan di hotel bertaraf lima bintang.

“Apabila para pelajar memohon supaya wang tersebut dikembalikan, pihak pentadbiran mengugut mereka tidak akan dapat kolej kediaman pada semester hadapan. Adilkah berbuat demikian?

“Ada pelajar yang nak makan setiap hari pun tiada duit, pihak pentadbiran kolej tanpa perikemanusiaan memaksa pula pelajar membayar RM120 makan malam di hotel yang gah,” kata pelajar tahun empat Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu, seperti dipetik Utusan.

Muhammad Ahnaf bersama 10 wakil pelajar bagi setiap kolej kediaman di UM sebelum itu berhimpun di hadapan Bangunan Canselori universiti bagi menyerahkan memorandum bantahan yuran makan malam kepada Naib Canselor UM, Dr Ir Abdul Rahim Hashim.

Sementara itu, Wong yan Ke yang merupakan pengerusi Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), yang turut hadir menggesa pihak universiti menjadikan yuran berkenaan sebagai pilihan.

“Ketika ini yuran majlis makan malam itu dipotong secara automatik tanpa memberi pilihan kepada pelajar. Kemudian mereka perlu membuat permohonan untuk pemulangan semula. Dan ia terpulang kepada keputusan pihak universiti untuk menerima atau menolak permohonan itu.

“Kami minta agar yuran ini dijadikan pilihan. Sesiapa yang mahu menyertai majlis makan malam itu perlu mendaftar,” katanya.

Wong juga mendakwa pelajar diberikan waktu yang singkat untuk membuat permohonan pemulangan yuran berkenaan.

Tambahnya, selepas bantahan terbaru itu, pihak universiti sudah menghubungi pemimpin pelajar dan sedang membincangkan penyelesaian.

Mkini

Related Articles

One Comment

  1. Majlis makan malam cari dana untuk siapa. Satu pelajar 120. 1 meja 10 orang. Jumlah 1200 RM. Buat 200 meja. Kalau 200 meja. Kalau 400 meja. Kos satu kepala ikut menu. Cari menu murah. Kalau ada jemputan VVIP. Meja dekat VVIP lagi mahal kot. Potong yuran pelajar miskin tu apa ke jadahnya. Pihak pengurusan sudah tak ada hati perut. Sia2 saja hidup didunia ini jika perangai begitu.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker