Rombongan Ebit diiringi tentera Mesir ke Gaza


Rombongan Ebit dibenar masuk ke Gaza sampaikan bantuan

Pendakwah bebas, Ebit Lew dan rombongannya kini dibenarkan masuk ke Gaza, Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Ebit dalam hantaran di laman sosial miliknya sebentar tadi memaklumkan mereka masuk diiringi tentera Mesir dengan kereta berperisai sepanjang perjalanan.

Beliau turut memaklumkan, berdasarkan maklumat Kedutaan Malaysia dan Unit Perisikan Tentera Mesir, rombongan mereka adalah pasukan pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui pintu sempadan Rafah selepas perang, baru-baru ini.

“Syukur pada Allah rombongan kami berada di Gaza, Palestin.

“Namun ada lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia sedang memohon. Sebahagian ada di Mesir. Doakan mereka semua dimudahkan Allah supaya lebih ramai dapat dibantu,” katanya.

Ebit turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang membantu rombongannya dari awal.

“Setiap hari kami bermesej. Datuk Seri telefon Kementerian Luar Mesir dan terus ke Mesir untuk membantu kami secara terus dan turut meminta saya menjaga pasukan kami.

“Walaupun terlambat seminit, betapa ramai yang memerlukan di Palestin menderita,” katanya.

Ebit juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia dan pasukan yang banyak membantu rombongannya seperti sebuah keluarga.

Selain itu beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu dan menyumbang dalam menjayakan misi itu.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dengan menyebut misi kami,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Palestin Red Crescent Society dan Malaysia Red Cresent.

“Terima kasih Kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,” katanya.

Ebit turut memohon maaf kerana tidak mengemas kini mengenai misi itu di mana-mana laman sosial atas faktor keselamatan.

Ebit dan rombongan bantuan kemanusiannya berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu dan dua hari kemudian melalui satu hantaran di Facebook beliau memaklumkan selamat tiba di Mesir.

Beliau turut memaklumkan sudah membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital Gaza pada hari terbabit.

Bagaimanapun, banyak pihak kemudian tertanya-tanya mengenai status keadaannya serta perkembangan misi bantuan kemanusiaan selepas tidak lagi mengemas kini laman sosial selepas itu.

Namun pada 12 Jun lalu, Ebit memuat naik gambarnya di Facebook dan Instagram namun tidak menyatakan lokasi sebaliknya meminta masyarakat mendoakan kejayaan misi.

Pada 19 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri Kamarulzaman memaklumkan Ebit dan rombongannya sudah mendapat kebenaran awal untuk memasuki Gaza.

Namun berdasarkan maklumat, pihak berkuasa tempatan meletakkan beberapa syarat tambahan untuk dipatuhi pasukan misi kemanusiaan itu.

Syarat itu antaranya bertujuan memastikan keselamatan rombongan perjalanan masuk misi bantuan kemanusiaan it uke Gaza. BH

Rombongan Ebit diiringi tentera Mesir ke Gaza


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker