Ternakan dibaham harimau kumbang

KUALA PILAH – Penduduk di Kampung Gamin Hilir, di sini, gempar apabila menemui bangkai seekor lembu di kawasan kebun kelapa sawit dipercayai dibaham harimau kumbang, pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gamin, Faizullah Abdul Mutalib berkata, kira-kira pukul 10 pagi tadi, penduduk, Joko Sambang, 31, memaklumkan menemui bangkai tersebut di kawasan kebun yang terletak 100 meter dari rumahnya.

“Malam tadi lebih kurang pukul 8 malam, Joko terdengar bunyi lembu seolah-olah digigit binatang lain. Pagi ini, dia pergi menyusuri kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumahnya dan ternampak bangkai lembu ini.

“Ini merupakan kali pertama aduan binatang ternakan dibaham harimau kumbang di sini, namun aduan yang sama iaitu binatang ternakan dibaham harimau kumbang pernah berlaku di Kampung Tengah tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, Kampung Gamin Hilir, di sini, tadi.

Penternak lembu, A.S Alagan, 50, berkata, dalam tempoh dua minggu ini, tiga ekor lembu ternakannya ditemui mati di sekitar kawasan kebun kelapa sawit dan dia juga pernah terserempak dengan harimau kumbang sedang membaham babi hutan seminggu lalu.

“Saya dah ternak lembu dekat 20 tahun, tapi ini baru kali pertama binatang saya dibaham harimau kumbang. Saya tak buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana masih ragu-ragu sama ada kematian lembu saya ini disebabkan harimau kumbang.

“Di kampung berdekatan, organ dalaman binatang ternakan habis dibaham harimau kumbang, lembu saya tidak. Apa pun saya lega apabila ketua Kampung melaporkan kepada Perhilitan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, aduan berkenaan berasas apabila kakitangannya yang bergegas ke lokasi aduan mendapati terdapat kesan gigitan harimau kumbang di leher bangkai binatang ternakan berkenaan.

Menurutnya, selain itu kesan tapak kaki harimau kumbang juga ditemui di kawasan berhampiran bangkai ternakan tersebut dan pihaknya akan memasang perangkap dalam masa terdekat.

“Ini merupakan aduan keempat di negeri ini yang kita terima mengenai harimau kumbang masuk ke kawasan kampung,” katanya. -K! ONLINE.

Ternakan dibaham harimau kumbang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Budak perempuan maut dibaham harimau bintang

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker