Happy Hypoxia pembunuh senyap pesakit Covid-19


Happy Hypoxia pembunuh senyap pesakit Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan ‘Fenomena Happy Hypoxia’ iaitu komplikasi kandungan oksigen rendah dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menjadi pembunuh senyap tidak bergejala.

Menurut infografik yang dimuat naik di Facebook, KKM memaklumkan, penghidap tidak merasa sakit atau kesulitan untuk bernafas mahu pun sebarang simptom.

Jelasnya, penyakit itu juga dikaitkan dengan seseorang yang kekurangan oksigen akibat jangkitan Covid-19.

Happy Hypoxia boleh diukur melalui simptom, jam pintar dengan perisian mengira denyutan jantung dan mengukur oksigen dalam badan serta alat pengukur kadar oksigen dalam darah.

Infografik menunjukkan antara tanda awal yang selalu dilihat dalam kalangan pesakit adalah berasa kebingungan, gelisah dan sesak nafas.

Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen berkata, ia berpunca daripada pelbagai penyakit terutama paru-paru dan jantung yang menyebabkan kerosakan otak, paru-paru dan organ dalaman badan sekali gus membawa maut jika tidak dirawat segera.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila individu mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan kurang daripada 95 peratus.

“Tahap pernafasan pesakit Hypoxia boleh menjangkau sehingga 40 hingga 50 kali seminit berbanding kadar pernafasan normal antara 12 hingga 20 kali seminit.

“Kita juga akan melihat pesakit akan menjadi semakin risau dan panik selain tercungap-cungap kerana kesukarannya bernafas,” katanya menerusi laman sosial KKM itu.

Apa yang membimbangkan katanya, perkara sebaliknya berlaku kepada pesakit Covid-19 yang mengalami Hypoxia apabila tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

“Mereka kelihatan tenang, normal dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen mereka rendah maka sebab itulah golongan pesakit Covid-19 ini dipanggil Happy Hypoxic.

“Ini menyebabkan kekeliruan apabila doktor sukar mengenal pasti pesakit Covid-19 yang alami Hypoxia kerana otot pernafasan mereka tidak menunjukkan tanda sukar bernafas.

“Happy Hypoxia ini boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen ini tidak dapat dikesan dan dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setiap isi rumah digalakkan memiliki alat mengesan kadar oksigen dalam darah, ‘Pulse Oximeter’ kerana pengesanan awal gejala ini boleh mengelakkan kematian dalam kalangan pesakit Covid-19.

“Bagi pesakit Covid-19, Happy Hypoxia ini boleh berlaku apabila pesakit berada pada kategori empat dan lima iaitu tahap virus mula menunjukkan kesannya di paru-paru.

“Sekiranya pesakit Covid-19 ini berada di hospital, maka Hypoxia ini boleh dikesan awal kerana tahap oksigen pesakit sentiasa dipantau setiap empat jam.

“Jadi, bagi mencegah kematian disebabkan fenomena Happy Hypoxia ini, pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah digalakkan membeli Pulse Oximeter di farmasi bagi memantau tahap oksigen mereka & segeralah ke hospital jika tahap bacaan oksigen kurang daripada 95 peratus,” tambahnya.

Gejala itu kebanyakannya menyerang pesakit Covid-19 dalam kalangan individu muda dan dilaporkan berlaku di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

Pulse Oximeter adalah peranti perubatan yang perlu berdaftar dan penjualannya perlu mendapat kelulusan daripada Medical Device Authority, sebuah badan bawah KKM.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut berhubung penyakit tersebut menerusi Facebook KKM. MG

Happy Hypoxia pembunuh senyap pesakit Covid-19


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Rompak syarikat penghantaran, 3 anggota polis ditahan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker