Kayuh basikal jual produk sejuk beku


Kayuh basikal jual produk sejuk beku

Ipoh: Lelaki ini cekal mengayuh basikal hampir setiap hari untuk menjual pelbagai produk sejuk beku sebagai sumber pendapatan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demi kelangsungan hidup.

Seawal 9 pagi, Husin Muhamad, 60, akan memulakan kayuhan basikal hingga 12 tengah hari mengelilingi kawasan Kampung Tengku Hussein Hujong, Manjoi, di sini, dan sekitarnya dengan melaungkan ‘kuih-kuih’ untuk menarik perhatian pembeli.

Dia yang mesra dikenali sebagai Pak Cik Husin berkata, produk sejuk beku itu diletakkan di dalam bekas gabus (styrofoam) bagi mengekalkan kualitinya dan diikat di belakang tempat duduk supaya tidak terjatuh sewaktu kayuhan di sekitar kampung berkenaan.

“Saya menjual pelbagai jenis kuih sejuk beku seperti karipap, samosa, donat, pau dan macam-macam lagi untuk menarik perhatian pembeli.

“Jika ada tempahan melalui WhatsApp, saya akan menghantar ke rumah mereka tanpa caj penghantaran, manakala pembeli dari luar kawasan Manjoi mereka akan ambil di rumah saya atau tunggu di mana-mana lokasi,” katanya ketika ditemui bersama isterinya di rumah mereka, hari ini, kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar raya.

Katanya, idea berkenaan tercetus hasil perbincangan bersama anak buahnya tahun lalu kerana dia suka menunggang basikal serta mempunyai minat untuk menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

“Saya kurang pandai membawa motosikal, jadi saya memilih untuk membuat jualan menggunakan basikal,” katanya yang turut memakai pelitup muka dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Menurutnya, jualan produk sejuk bekunya ketika tempoh PKP 3.0 ini sedikit terjejas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Manjoi dari 6 hingga 19 Jun ini.

Husin yang juga juga anak jati Parit berkata, dia meraih kira-kira RM200 sebulan hasil usahanya mengayuh basikal sambil menjual kuih sejuk beku yang diperoleh daripada pembekal di Changkat Jering.

Katanya, kuih sejuk bekunya itu dijual dengan harga RM6 sebekas dan dia tidak pernah menaikkan harga walaupun dalam tempoh PKP kerana tidak mahu meraih keuntungan semata-mata.

“Kebanyakan pembeli memuji kerana saya masih menjual kuih sejuk beku dengan harga murah dan berpatutan walaupun ketika PKP. Saya pun jual kuih suka-suka jadi bila dengar komen seperti itu saya seronok dan berharap lebih ramai yang membeli,” ujarnya.

Dia yang sebelum ini bekerja secara kontrak sebagai penjaga stor makmal di Klinik Kesihatan Jelapang, di sini, turut menjual makanan dan minuman sampingan lain seperti aneka kopi, air tin, kerepek ubi, kacang dan telur masin bagi menambah pendapatannya. HM

Kayuh basikal jual produk sejuk beku


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Mesir Hukum Bunuh 12 Tokok Ikhwanul Muslim

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker