Bursa merosot sejak darurat tanda keyakinan pelabur menurun
Prestasi Bursa Malaysia dilihat sebagai cerminan kepada ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.
Kemerosotan dialami pasaran saham Malaysia sejak darurat diumumkan pada Jan lalu mencerminkan kelemahan ekonomi dan kurangnya keyakinan pelabur terhadap negara ini, menurut ahli ekonomi.
Sejak 12 Jan, Bursa Malaysia jatuh 2.1% berbanding peningkatan dua digit yang dilihat pada indeks pasaran saham Singapura dan Thailand serta kenaikan 7% yang dialami indeks Asia Dow.
Profesor ekonomi di Sunway University, Yeah Kim Leng berkata, pasaran saham boleh menjadi ukuran tahap keadaan ekonomi secara terperinci seperti bagaimana pelabur menjangkakan prestasi korporat dan pertumbuhan ekonomi.
“Ada perkara lain yang dapat anda perhatikan, seperti jumlah pengeluaran, eksport dan pekerjaan untuk mendapatkan pemahaman penuh tentang bagaimana ekonomi sedang berjalan, tetapi indeks pasaran saham mencerminkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur.
“Angka tersebut menunjukkan pelabur tidak mengharapkan pemulihan yang cepat di Malaysia. Ini menunjukkan sentimen melainkan jika kita berjaya mengatasi pandemik, kita tidak mungkin melihat pemulihan yang cukup kuat untuk membenarkan penilaian yang lebih tinggi,” katanya kepada FMT.
Yeah berkata, kurangnya penambahbaikan dalam pasaran saham menunjukkan bahawa pelabur di dalam dan luar negara tidak meramalkan syarikat mencatatkan keuntungan semula yang akan membenarkan pelaburan, sama ada melalui dividen yang dibayar atau peningkatan modal.
Paolo Casadio dari Universiti HELP bersetuju prestasi Bursa menunjukkan para pelabur masih waspada terhadap prospek ekonomi negara, tetapi beliau berkata ia tidak sepenuhnya negatif kerana nilai BSKL ketika ini serupa dengan yang dilihat sebelum wabak bermula pada akhir 2019.
“Ini menunjukkan masih ada beberapa sokongan di pasaran dan para pelabur ini menunggu alasan untuk mengharapkan potensi kenaikan.
“Pasaran tempatan juga akan terkesan dengan keadaan ini, bersama pasaran antarabangsa,” katanya.
Bagaimanapun, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata jangkaan yang lebih berharga dapat dikumpulkan melalui metrik lain kerana pasaran saham dipengaruhi oleh ‘terlalu banyak faktor selain asas ekonomi’.
Beliau berkata pengurangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini dan kadar pengangguran yang kekal di atas paras 4.5% memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan ekonomi yang buruk.
Tambah beliau, penutupan 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak perintah kawalan pergerakan pertama menggambarkan keadaan sebenar di lapangan. FMT
- Kerajaan PN Masih Gagal ‘Bangkrapkan’ Saya – Najib Razak
- Kerajaan Perak bagi telefon pintar percuma buat pelajar
- Resepi filet ikan bakar dengan sos tomato dan parmesan
- Resepi Ayam Goreng Masak Halia
- Nora Soto Padat Terbaik Di Lembah Kelang
- Kemunculan durian Tupai King
Layari Laman Facebook MYKMU NET
Pelabur asing mengeluarkan dana dari Malaysia – Najib