“Dulu Check Boarding Pass, Sekarang Check MySejahtera” [VIDEO]

BERUBAH sepenuhnya, tetapi konsepnya tetap sama!

Begitulah gambaran kisah kru kabin syarikat penerbangan AirAsia yang memulakan tugas sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak minggu lalu.

VIDEO DIBAWAH:-

Menurut Nurul Tiara Rosli, 30, usaha murni itu sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan mereka untuk bertugas di awan biru seperti sedia kala.

“Ini merupakan tahun ketujuh saya bertugas sebagai kru kabin. Sejak pandemik Covid-19, terlalu banyak perubahan yang berlaku.

“Kini, saya hanya terlibat dengan satu atau dua penerbangan saja dalam sebulan. Kali terakhir bertugas pun pada 27 Mei lalu

“Bila dapat tahu mengenai progam ini, saya jadi teruja. Saya boleh pakai uniform, jumpa orang ramai dan buat kerja macam dalam penerbangan.

“Cuma kali ini ia berbeza, kami bukan dalam pesawat tapi di PPV,” ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Tiara, dia mendedahkan ada pengunjung turut mengambil peluang bergambar dengannya serta kru kabin yang lain ketika mereka bertugas di PPV

Malah katanya, dia juga sedikit sebak apabila ada pengunjung menyuarakan rasa rindu untuk melihat kru kabin bertugas dalam pesawat ketika pandemik belum melanda dunia

“Dulu kami check boarding pass, sekarang check MySejahtera. Kami masih buat benda sama, assist orang, tapi suasana berbeza.

“Ada pengunjung yang tegur saya dan mereka kata rindu nak terbang macam dulu. Ada yang ajak bergambar, mereka juga buat rakaman video bila kami buat pengumuman di PPV,” ujarnya berseloroh.

Selain Tiara, seorang lagi kru kabin, Mohd Suhairi Zakaria, 30, turut bersyukur apabila diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat menerusi program itu

“Teruja sebab dah lama tak jumpa orang. Dulu setiap hari kita berhadapan dengan penumpang pesawat.

“Bila dah lama tak merasai pengalaman itu, tiba-tiba jadi seronok dapat bantu orang ramai di PPV.

“PPV dah jadi macam airport. Kalau diberi peluang dan giliran lagi pada masa akan datang, sudah tentu saya mahu sertai lagi,” ujarnya.

Dalam temubual sama, Suhairi dan Tiara turut menzahirkan harapan agar pandemik Covid-19 berakhir segera dan industri pelancongan serta penerbangan dapat kembali pulih seperti sedia kala.

Mereka juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak gentar mendapatkan vaksin dan segera mendaftar jika belum berbuat demikian.

Untuk rekod, mereka merupakan sebahagian daripada 300 kakitangan AirAsia dikenali sebagai Allstars daripada pelbagai jabatan yang bertugas dalam program itu.

Ia secara rasmi dimulakan di PPV Pusat Konvensyen Setia City pada Selasa lalu diikuti PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.-mSTAR / TikTok AirAsia

AirAsia tidak sabar kembali terbang: Tony Fenandes

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker