Kerajaan PN Kerajaan Ketam

Sebaran :

Rakyat Malaysia tidak marah kepada undang-undang jika sekiranya dikuatkuasakan dengan adil dan saksama.

Masalah hari ini, pelaksanaannya begitu memilih bulu hinggakan rakyat naik muak dan benci.

Tidak betul jika dikatakan kerajaan mempunyai amalan pelaksanaan hukuman antara dua darjat. Sebenarnya ia mengamalkan pelaksanaan hukuman antara tiga darjat!

Tiga golongan tersebut adalah rakyat biasa, golongan separa kebal dan golongan “super kebal”.

Untuk rakyat biasa, hukuman mengikut peraturan ketat mengikut buku. Mereka ini ialah Mak Cik Kiah dan yang seangkatan dengannya.

Untuk Mak Cik Kiah serta anak buahnya, ditetapkan hukuman serta-merta – on the spot – semasa dan di tempat kejadian berlaku tanpa budi bicara. Saman ribuan malahan belasan ribu diberitakan dikenakan.

Untuk golongan separa kebal – seperti menteri dan ahli politik Perikatan Nasional (PN), golongan kenamaan dan selebriti atau digelar golongan kayangan – ada pula budi bicara serta siasatan lanjut yang memakan masa yang lama serta boleh dipertimbangkan.

Saman atau denda, jika dikenakan pun, adakalanya tidaklah begitu tinggi atau tidak begitu menggerunkan mereka, jika dibandingkan dengan status dan gaji lumayan mereka.

Kategori ketiga yang paling istimewa. Golongan “super kebal” terdiri daripada kalangan menteri berjawatan paling atas dan yang berstatus golongan paling tinggi kerajaan.

Mereka ini langsung terlepas pandang oleh pihak berkuasa walaupun kesalahan mereka agak berat dan serius.

Baru-baru ini menteri undang-undang menyatakan Duli Yang Maha Mulia raja-raja Melayu hanya patut mendengar pandangan dan nasihat kerajaan serta menteri kerajaan sahaja walaupun Jawatankuasa Khas Bebas Dharurat ditubuhkan untuk memberi laporan serta nasihat kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Siapa yang dimaksudkan Hishammuddin?

Tempelak menteri undang-undang

Ini boleh dikatakan kenyataan tidak menghormati malahan biadab terhadap Majlis Raja-Raja Melayu, dengan melarang raja-raja Melayu menerima pandangan sebuah jawatankuasa khas rasmi.

Banyak pihak menempelak menteri undang-undang atas kenyataan tidak beradab itu.

Amat mendukacitakan ia datang daripada menteri undang-undang kerajaan Melayu Islam yang tidak berlaku sopan dan tidak menghormati institusi raja-raja negara sendiri.

Di manakah nilai Melayu atau Islamnya dalam tindakan ini?

Perdana menteri pula tidak mengendahkan saranan titah DYMM Yang di-Pertuan Agong yang bertitah darurat yang ada hari ini tidak menghalang parlimen daripada bersidang. Perdana menteri berlakon pekak serta tuli dan terus membisu dalam isu ini.

Apabila DYMM Sultan Johor bertitah untuk ahli parlimen serta Adun Johor bermesyuarat isu Covid-19 yang makin serius, sementara ahli parlimen dan Adun lain telah hadir, perdana menteri yang merupakan ahli parlimen Johor menjauhkan diri.

Sebelum ini, kita dengar menteri dalam negeri memberi amaran keras kepada rakyat supaya menghormati institusi raja-raja dan jangan melakukan apa-apa tindakan menghina institusi tersebut.

Malangnya perdana menteri dan menteri undang-undang kerajaan Melayu Islam sendiri yang menunjukkan contoh yang buruk tidak menghormati institusi raja-raja sendiri.

Inilah kerajaan seperti yang dikatakan ketam hendak mengajar anaknya berjalan lurus. Kerajaan yang hilang hala tuju serta peraturan adab.

Jangan sampai jadi seperti abah melarang anak kencing berdiri sementara dirinya kencing berlari. Rakyat bukan sahaja hilang kepercayaan kepada kerajaan Melayu-Islam kosong Muhyiddin Yassin hari ini.

Rakyat sudah juga hilang segala harapan kepada kerajaan Abah yang hanyut hilang arah sementara krisis Covid-19, ekonomi dan moral melanda Malaysia yang dahulu pernah menjadi sebuah negara yang dihormati dan dicontohi.

Kerajaan Melayu-Islam apakah yang tidak beradab kepada institusi raja-raja yang menjadi payung kepada rakyat.

Kepada rakyat pula, para menteri berlagak seperti golongan kayangan terpisah daripada kesusahan derita rakyat dengan menteri-menteri golongan kayangan terlepas serta mengatasi undang-undang negara.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah pengerusi Amanah Terengganu dan anggota Dewan Negara.

Kerajaan PN Kerajaan Ketam

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Laksa Air Itam henti operasi kerana gangguan pemungut hutang, Covid-19

 


Sebaran :

Leave a Reply