TUTUP KSCIP JANGAN JEJAS HUBUNGAN DUA HALA

Keputusan Kerajaan sebagaimana yang dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan YB Mohamad Sabu untuk menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan ditutup serta-merta amat membimbangkan. Sebagai pihak yang terlibat secara langsung sejak dari awal penubuhan KSCIP mewakili Kerajaan Malaysia dalam siri-siri perundingan dengan Kerajaan Arab Saudi, saya terpanggil untuk menyatakan pandangan seperti berikut:

1. Keputusan yang dibuat secara unilateral tanpa perbincangan dua hala dengan pihak Kerajaan Arab Saudi dibimbangi *boleh menjejaskan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi yang lama terjalin.*

2. Penubuhan KSCIP merupakan *pengiktirafan khas Raja Arab Saudi Raja Salman Bin Abdul Aziz Al-Saud kepada Malaysia* yang dikagumi baginda sebagai negara yang mengamalkan model Islam berteraskan prinsip Wasatiyyah.

3. Arab Saudi juga bersetuju untuk *membiayai sepenuhnya segala kos operasi KSCIP termasuk pembinaan bangunannya*, dengan matlamat agar Malaysia dapat mempromosi wajah Islam sebenar kepada dunia terutamanya dalam menangani isu-isu ekstrimisme dan terorisme global.



4. Hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi melalui kebijaksanaan kepimpinan terdahulu jugalah yang telah *memberikan natijah positif kepada rakyat khususnya dalam hal ehwal pengurusan Haji.*

5. Seiring dengan penubuhan KSCIP tahun lepas juga, Kerajaan Arab Saudi telah *menambah kuota Haji sehingga mencecah 30,000, iaitu antara penerima kuota tambahan terbesar.*

6. Selain itu, hasil hubungan akrab dua negara ini juga segala kemudahan dan keistimewaan dinikmati Jemaah Haji Malaysia tahun ini termasuklah *kemudahan khemah berhawa dingin di Arafah dan perkhidmatan perlepasan segera (fast-track) kepada Jemaah Haji yang tiba di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama.*

7. Keputusan ini juga dikhuatiri akan *menjejaskan usahasama ekonomi berskala besar* seperti pelaburan berjumlah RM 31 billion oleh Saudi Aramco di dalam projek Rapid Petronas Pengerang. Projek ini membawa kepada pewujudan kerja-kerja berpendapatan tinggi serta menjadikan Malaysia hub petrokimia terpenting di rantau ini.



Justeru, saya berharap pihak Kerajaan Malaysia dapat mengambil pendekatan lebih berdiplomasi dan berhikmah dengan menghantar delegasi mengadap Raja Arab Saudi bagi menzahirkan hasrat kerajaan. Ini sekaligus *memastikan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi terpelihara dan rakyat dapat terus menikmati natijah positif daripada hubungan ini.*

*Dr. Asyraf Wajdi Dusuki*
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
7 Ogos 2018

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker