Maszlee gesa KPM tangguh program tak berkaitan PdPR


Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menangguh pelaksanaan beberapa program yang tiada kaitan dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjelang pembukaan semula sesi persekolahan pada 13 dan 14 Jun ini.

“Program-program yang tidak berkaitan dengan PdPR ini seharusnya ditangguhkan buat masa ini,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Maszlee Malik yang juga bekas menteri pendidikan dalam satu kenyataan.

Maszlee berkata, penangguhan buat sementara waktu itu perlu bagi memberi ruang kepada guru dalam memberikan tumpuan penuh untuk menambah baik pelaksanaan PdPR.

Jelasnya, kejayaan pelaksanaan PdPR penting ketika ini supaya tiada murid tercicir atau ketinggalan dalam pendidikan terutama yang berada di kawasan pedalaman dan kurang berkemampuan.

“Walaupun masyarakat lebih bersedia pada PKP 3.0 ini termasuk bidang pendidikan lantaran pengalaman kita telah masuk tahun ke-2, namun isu keciciran yang telah berlaku sebelum ini masih belum dapat di atasi.

“Ramai murid masih tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana tiada peranti dan isu capaian internet. Ramai guru yang baru berjinak-jinak dengan Pembelajaran dan Pemudahcara melalui internet. Mereka perlu belajar di samping mengajar,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

Maszlee berkata antara program yang perlu ditangguhkan itu adalah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), Pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Perancangan Strategi Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT.

Selain itu, program lain yang dipetik Maszlee ialah Pelaksanaan Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pelaksanaan Dialog Prestasivi, Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) serta Pelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata kaedah PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Ketetapan yang berkuat kuasa semalam itu bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan KPM. Mk

Di persimpangan menuju pendidikan pascapandemik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker