Ditahan kerana solat Isyak berjemaah, 37 individu selawat atas trak polis


Seramai 37 individu berselawat di atas trak ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan, selepas ditahan kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terdahulu, individu terbabit ditahan kerana menunaikan solat Isyak berjemaah di dua surau dalam Mukim Chetok, Tok Uban, Pasir Mas, 9 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 70 tahun.

“Sebanyak 28 saman dikeluarkan di masjid pertama yang diserbu, manakala sembilan lagi diberikan kepada jemaah di surau berlainan pada hari sama.

“Mereka dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, selain menunaikan solat Isyak berjemaah, walaupun sedia maklum ia tidak dibenarkan sepanjang PKP,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Nasaruddin berkata, tindakan individu terbabit sekali gus melanggar SOP termasuk dari segi penjarakan fizikal yang bukan sahaja membahayakan, malah memberi risiko kepada penularan Covid-19.

“Masyarakat sepatutnya mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama, terutama untuk mengekang kenaikan jumlah mangsa Covid-19 yang semakin membimbangkan terutama di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga jemaah terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun namun polis hanya memberi nasihat memandangkan mereka di bawah umur.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan individu yang ditahan polis, berselawat di atas trak ketika dibawa ke IPD Pasir Mas.

Lelaki gelang pink kena kompaun beli barang runcit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker