Varian kacukan UK – India dikesan, lebih bahaya – Dr Noor Hisham

Sempadan negara harus dikawal sebaiknya bagi memastikan tiada varian baharu COVID-19 memasuki Malaysia memandangkan terdapat varian baharu dikesan di rantau ASEAN.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini empat varian baharu dikenal pasti di Malaysia iaitu varian United Kingdom (UK), India, Brazil dan Afrika Selatan.

“Kita akan pertingkatkan kawalan sempadan negara kita. Alhamdulillah kawalan sempadan negara sangat baik. Kes yang dikesan pun satu angka. Kita bimbang varian baharu telah pun dikesan di rantau ini.

“Contoh varian yang kita kenal pasti ada empat iaitu varian UK, India, Brazil dan Afrika Selatan. Ada kita dapati maklumat dari Vietnam, ada varian kacukan yang baharu iaitu varian UK dengan India.

“Jadi ini mungkin akan menambahkan kes-kes atau virus ini merebak lebih cepat dan kemungkinan akan membawa lebih banyak kematian,” katanya dalam sidang media khas COVID-19 yang turut dihadiri Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan pihak berkuasa Vietnam mengesan varian baharu virus COVID-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas.

Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini.

Jelasnya, varian baharu itu merupakan varian India dengan mutasi yang asalnya daripada varian UK serta lebih berbahaya.

Negara Asia Tenggara sebelum ini telah mengesan tujuh varian COVID-19 antaranya B.1222, B.1.619, D614G, B.1.1.7, B.1.351, A.23.1 dan B.1.617.2.

75 peratus kes baharu COVID-19 UK adalah varian India

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker