Ebit Lew berlepas bersama misi kemanusiaan ke Gaza


Tanpa publisiti yang banyak untuk mengumpul dana, pendakwah dan usahawan berpengaruh, Ebit Lew, berlepas ke luar negara dengan membawa misi kemanusiaan buat Gaza, Palestin.

Tidak banyak maklumat mengenai misi itu didedahkan setakat ini. Bagaimanapun dalam hantaran di media sosial menjelang tengah malam ini Ebit meminta orang ramai mendoakan perjalan dan misi berkenaan berjaya disempurnakan.

“Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya. Ya Allah bantulah kami dan hanya kepada-Mu kami berserah,” katanya.

Ebit juga menyatakan tiket penerbangan berkenaan ditaja oleh syarikat penerbangan Turkish Airlines.

Sementara itu Menteri Luar Hishammuddin Hussein membayangkan Ebit dan rombongannya berlepas ke Mesir sebelum menyempurnakan misi kemanusiaan tersebut.

“Perlukan apa-apa, maklumkan sahaja. Insya-Allah, perwakilan Malaysia di Kaherah, Mesir akan cuba bantu.

“Semoga selamat sampai ke destinasi ustaz!” katanya di Facebook dengan mengepilkan hantaran Ebit.

Gaza baru-baru ini diserang oleh tentera Zionis selepas berlaku ketegangan di antara kedua-dua pihak. Bagaimanapun keadaan agak aman sekarang selepas Tel Aviv dan Hamas – yang berkuasa di Gaza – bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Sebahagian kecil sempadan Mesir di bahagian timur negara itu bersempadan dengan Gaza. Ketika Mesir diperintah Mohamed Morsi kerajaan negara itu membuka sempadannya di Rafah kepada penduduk Palestin.

Bagaimanapun keadaan kembali kepada asal – iaitu Gaza terkepung dari segenap arah – selepas Morsi digulingkan Abdel Fattah al-Sisi.

Dianggarkan bahagian timur Mesir 170km sempadannya bersebelahan dengan Israel manakala baki 11km lagi berjiran dengan Gaza.

Sementara itu Bernama melaporkan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin dirancang Ebit Lew mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata pihaknya menerima panggilan daripada Ebit Lew hari ini bagi memaklumkan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula hari ini hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza.

“Urusan yang melibatkan misi tersebut dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya. Mk

5 cara rakyat Malaysia boleh bantu warga Palestin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker