‘Saya lihat ada mangsa muntah darah’

“Saya lihat salah seorang mangsa wanita berusia awal 20-an yang diberikan rawatan kecemasan muntah darah sebanyak dua kali. Ketika itu, saya yakin dia menghadapi masalah kecederaan dalaman akibat impak kemalangan tren LRT (Transit Aliran Ringan) itu,” ujar anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan Muda Ahmad Hakim Azmi.

Menurutnya, dalam kejadian kemalangan tren LRT berhampiran Stesen LRT Kampung Baru di sini, jam 8.45 malam tadi, dia dan anggota pasukan perubatan APM tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas nahas berlaku.

“Kami terus bergegas ke red zone iaitu lokasi semua mangsa masih berada di dalam gerabak LRT yang terbabit dalam rempuhan dua tren itu.

“Ketika itu, kami nampak ramai mangsa tercedera masih berada di dalam gerabak. Keadaan memang mencemaskan berikutan ada mangsa yang cedera parah dan cedera ringan. Bagaimanapun kami fokuskan bantuan kecemasan kepada penumpang tren yang cedera parah,” katanya.

Menurutnya, ada mangsa yang dalam keadaan terbaring di lantai tren dan ada juga yang duduk di bangku tren dalam keadaan kesakitan.

“Saya lihat seorang wanita berusia 30-an duduk menahan kesakitan. Mangsa nampak masih mampu mengawal emosi walaupun peha kirinya berlumuran darah”

“Saya segera bertanyakan keadaannya sebelum dia memaklumkan amat sakit pada bahagian peha akibat tercampak sejurus rempuhan tren LRT berlaku. Berdasarkan pengalaman, saya mengesyaki tulang peha kiri mangsa patah,” katanya.

Susulan itu, anggota APM berusaha memberikan rawatan awal secara berhati-hati dengan memindahkan mangsa ke atas scoop stretcher.

“Kami kemudian mengangkat scoop stretcher itu beramai-ramai menaiki tangga stesen untuk membawa mangsa ke ambulans.

“Dalam masa sama, saya turut melihat seorang wanita berusia awal 20-an muntah darah sebanyak dua kali. Keadaannya separa kritikal ketika itu dan berkemungkinan mengalami kecederaan organ dalaman,” katanya.

Ahmad Hakim berkata, kebanyakan mangsa yang diangkat dari gerabak LRT di landasan bawah tanah itu diletakkan di kawasan menunggu LRT di tingkat atas stesen.

“Pelbagai keadaan mangsa dilihat ketika itu, ada yang patah hidung, cedera kepala dan muka selain pelbagai bentuk kecederaan lain. Alhamdulillah, usaha membantu semua mangsa disertai anggota bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis dilakukan dengan cekap, pantas serta teratur.

“Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Sementara Pusat Kawalan Operasi APM dalam kenyataannya berkata, semua mangsa yang cedera dalam kejadian itu berjaya dibawa keluar dari dalam gerabak tren LRT dan dihantar ke HKL pada 10 malam tadi.

Seramai tujuh pegawai dan 29 anggota APM Kuala Lumpur, Selangor dan Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA) terbabit dalam operasi menyelamat mangsa disertai polis, bomba DBKL dan Agensi Pengangkutan Awam Darat-HM (APAD).-HM

LRT bertembung: Enam masih parah, 15 separa parah, 43 tidak kritikal – Annuar Musa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker