Kami ada wali, kamu ada, tanya Moktar Senik
Ulama Pas anggap Hadi wali dan anugerah Allah, ‘kamu ada, seperti yang kami ada?’
Tidak lagi berselindung, seorang ulama Pas dari Pantai Timur Semenanjung mengangkat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai wali Allah.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik bahkan berasa iri hati dengan apa yang dianggap kelebihan dimiliki Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu.
“Sejujurnya, ada dua perkara yang saya iri hati terhadap sosok mulia ini. Pertama, ketinggian ilmunya dan kedua, ketenangan beliau di tengah hujanan fitnah dengan makian.
“Iri hati itu sekali gus menjadikan hati saya mencintainya kerana Allah. Beliau (Abdul Hadi) adalah wali yang tenggelam dalam zauq dan fana’ kerana hubungannya dengan Allah.
“Dentuman guruh, petir dan halalintar cacian di sekelilingnya sedikit pun tidak menganggu asyiknya dengan perjuangan dan ubudiyyahnya kepada Allah,” tulisnya di Facebook semalam.
Dia juga berkongsikan lapan gambar memaparkan sosok Hadi dengan salah satu daripadanya memperlihatkan dirinya duduk bersebelahan Ahli Parlimen Marang itu.
Untuk rekod, mendakwa sebagai wali Allah adalah antara 45 ciri kesesatan dari segi akidah yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2012.
Lanjut meluahkan kekaguman hatinya kepada Hadi, Mokhtar menyifatkan bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu sebagai “sibuk berbisik dengan Allah, lalu tidak lagi menarik baginya perkataan makhluk.”
Dia juga menganggap Abdul Hadi yang dicintainya itu tidak mempedulikan puji dan caci malah lebih gentar akan pujian.
“Puji dan caci sama sahaja baginya. Bahkan, beliau lebih takut kepada pujian berbanding cacian. Sungguh saya iri hati kepadanya.
“Dengan ilmunya beliau terus menulis, mengajar dan memberikan tausihah. Di tengah bedilan musuh beliau terus melangkah,” madah Mokhtar lagi.
Pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan tersebut turut mengakui tidak pernah menyesal menyokong bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu.
“Kami abna’ul harakah tidak pernah menyesal berada di belakangnya. Bahkan, kami berbangga dengan anugerah Allah kepada kami iaitu seorang murabbi yang alim, sufi dan mujahid,” ujarnya.
Tidak cukup itu, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tidak peduli jika pendiriannya itu dianggap taksub, bahkan menempelak pihak lain yang tidak mempunyai ‘wali’ seperti dimilikinya.
“Nak kata saya taksub? Katalah. Tapi kamu ada, seperti yang kami ada?” soalnya pula. MD