Nasir Mohon Peminat SEARCH Bertenang

Pemain bass Search, Nasir mengajak netizen terutama peminat kumpulan rock legenda itu supaya memahami dengan mendalam mengenai isu hak cipta dan harta intelek sesuatu jenama itu.

Ini berikutan isu penggunaan nama Search untuk tujuan perniagaan seperti dilakukan individu dan satu syarikat, baru-baru ini.

Isu terbabit turut panas dengan reaksi kebanyakan peminat Search yang dilihat seperti tidak bersetuju dengan tindakan Amy dan Nasir itu.

Nasir dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, meminta supaya semua pihak bertenang dan menyerahkan proses perundangan kepada mereka yang lebih arif.

“Saya dengan rendah diri meminta supaya semua pihak terutama peminat-peminat yang kami sayangi bertenang sebentar. Kita serahkan kepada yang arif untuk tangani isu ini.

“Ini bukan pergaduhan atau peperangan tetapi suatu transaksi perniagaan yang memerlukan penjelasan dan pencerahan.

“Saya percaya peminat, penyokong Search serta rockers adalah golongan yang cintakan keamanan dan kedamaian,” tulisnya.

Menurutnya, akibat kekurangan pemahaman mengenai isu utama menyebabkan Search terutamanya Amy dihujani kecaman.

“Isu hak cipta dan harta intelek adalah perkara utama. Kita lihat pelbagai komen serta ragam daripada netizen terhadap isu yang sedang hangat ini.

“Ada yang okay dan berikan nasihat yang baik dan ada yang membuat komen negatif terhadap Search. Tak kurang juga yang mencerca Amy kononnya bekas anggota Search,” tulisnya.

Menurut Nasir, kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit perlu dibaca dengan teliti sebelum membuat andaian.

“Ramai yang kurang mengerti atau tidak memahami isu dan apa yang sedang berlaku sebenarnya. Kenyataan media yang Search, kelmarin harus dibaca dan diteliti dengan bijak.

“Perkara yang dinyatakan di dalam kenyataan media itu ialah Search mendapat tahu bahawa Home of Champions (HOC) menjalankan perniagaan menggunakan nama Search atau imej-imej yang berkaitan dengan Search tanpa kebenaran kami. Malah tidak ada perjanjian bertulis walaupun sekeping kertas. Selain itu, tiada perbincangan rasmi bersama semua anggota Search,” tulisnya.

Nasir berkata, dia bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit Ahmad tampil demi pembelaan, keadilan dan hak mereka yang sewajarnya.

“Perjuangan ini adalah untuk semua lima anggota yang ada hak di dalam Search mahupun yang sudah tiada,” tulisnya.

Semalam, Amy, Nasir dan waris Yazit dalam sesi Instagram Live memberi tempoh tujuh hari terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.-HM

Search beri tempoh tujuh hari

Amy dan Nasir Daud mempertahankan hak yang menjadi milik arwah Yazit Ahmad untuk diberikan kepada warisnya. - Foto IG Nasir Daud
Amy dan Nasir Daud mempertahankan hak yang menjadi milik arwah Yazit Ahmad untuk diberikan kepada warisnya. – Foto IG Nasir Daud

 

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Search, Amy, Nasir Daud dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad memberi tempoh tujuh hari terhadap sebuah syarikat menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

Pemain bass Search, Nasir berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat berkenaan gagal berbuat demikian.

“Jika gagal dalam tempoh diberikan, kami akan mendapatkan nasihat guaman dan memulakan tindakan undang-undang,” katanya kepada BH Online.

Anggota kumpulan itu membuat kenyataan ketika mengadakan sesi secara langsung menerusi Instagram (IG) Amy, kira-kira jam 9 malam ini.

Mengulas adakah Din dan Kid tidak layak menggunakan nama Search, sedangkan mereka masih anggota tetap Search, Amy berkata, mereka boleh menggunakannya dengan persetujuan bersama.

“Mereka boleh pakai nama Search jika mendapat persetujuan semua ahli. Saya, Nasir dan dan waris arwah Yazit tidak pernah bersetuju berhubung kegiatan perniagaan syarikat berkenaan.

“Masa arwah Yazit sakit, kami sudah berjanji jika apa-apa terjadi pada arwah, kami tidak akan ambil pemain dram lain untuk menggantikan arwah.

“Kami akan menggunakan pemain dram undangan, jika ada undangan persembahan. Kami juga bersetuju pemain dram undangan mendapat 20 peratus bayaran, manakala 80 peratus lagi akan diserahkan kepada waris arwah Yazit. Ini semua atas persetujuan bersama,” katanya.

 

Anggota Search sudah berjanji tidak akan mengambil pemain dram yang baharu menggantikan arwah Yazit Ahmad. - Foto IG Search
Anggota Search sudah berjanji tidak akan mengambil pemain dram yang baharu menggantikan arwah Yazit Ahmad. – Foto IG Search

 

Justeru itu, Amy berkata, penjelasan ini dilakukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada kemudian hari.

“Jangan esok apabila kami tiada, orang lain bertelagah mengenai perkara seumpama ini. Jadi, saya menerangkan sekali lagi untuk kebaikan semua. Kami juga mahu melindungi hasil kerja yang sudah buat,” katanya.

Sementara itu, Shahmirnuri atau mesra dengan panggilan Boy berkata, dia hanya mahu menuntut dan melindungi hak arwah bapanya.

“Berkenaan perkara ini, saya mahupun keluarga tidak diberitahu apa-apa mengenai jualan menggunakan nama Search. Saya juga tidak menerima panggilan mahupun makluman meminta izin atau seumpamanya.

“Disebabkan itu, saya cuba mendapatkan nasihat guaman untuk melindungi hak arwah bapa.

“Seperti dikatakan abang Amy, kami bukanlah tidak membenarkan anggota lain menggunakan jenama Search. Kami boleh mengizinkan dengan persetujuan bersama.

“Bukannya tidak pernah buat, sebelum ini. Saya tidak kisah untuk projek baharu, memandangkan arwah sudah tiada, itu terpulang pada anggota lain. Apa yang dikisahkan untuk perkara yang membabitkan arwah bapa, sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit mengeluarkan kenyataan media menuntut sebuah syarikat menghentikan kegiatan dan perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan tanpa pengetahuan.

Melalui kenyataan media, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit yang mengasaskan Search pada 1981, mendakwa mendapat maklumat mengenai seorang individu yang menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan nama Search tanpa kebenaran.

Kenyataan itu menyebut, antara lain individu terbabit didakwa mengendalikan laman web yang ada kaitan dengan kumpulan Search dan menjual pakaian serta aksesori menggunakan nama band berkenaan.

Tambah kenyataan itu, pihak terbabit turut didakwa menawarkan produk kasut edisi terhad menggunakan nama Search kepada peminat.

Guna Nama SEARCH, Ahli Kumpulan Ambil Tindakan Undang-Undang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker