‘Deadpool’ berniaga nasi kertas di Kok Lanas


KETEREH – Ketika kebanyakan watak adiwira komik sedang dalam misi menyelamatkan dunia, namun adiwira Deadpool yang berasal dari daerah ini sibuk ‘beraksi’ sebagai tulang belakang di Kedai Nasi Kertas, di Kok Lanas, di sini.

Pemilik Kedai Nasi Kertas, Mohd Alif Aikal Mohd Nadzir, 30, berkata beliau memakai kostum Deadpool itu sebagai strategi pemasaran di restorannya sekali gus bagi menghiburkan hati pelanggan.

“Saya sememangnya peminat adiwira Marvel terutamanya watak Deadpool kerana sifatnya yang nakal dan suka berjenaka. Sebelum ini, saya hanya memakai kostum ini sekadar suka-suka dan ketika tidak ramai pelanggan di kedai,” katanya yang ditemui Bernama di restoran berkenaan, baru-baru ini.

Mohd Alif Aikal berkata dia sudah ‘menjadi’ Deadpool sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di tujuh jajahan di Kelantan mulai 16 April lepas bagi menceriakan pelanggan yang menikmati makanan di restoran terbabit.

Usaha itu kemudian diteruskan sepanjang Ramadan lepas hingga kini bagi menarik kehadiran pelanggan yang datang membungkus makanan selaras penguatkuasaan PKP di seluruh ketika ini.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu berkata selain Deadpool, dua pekerjanya turut memakai kostum adiwira Spiderman dan Black Panther namun pada hari tertentu sahaja seperti hujung minggu dan cuti umum.

Menurut Mohd Alif Aikal, Kedai Nasi Kertas yang beroperasi sejak 2016 itu menyediakan variasi juadah asli Kelantan termasuk nasi kerabu, nasi berlauk serta nasi ayam kampung madu yang menjadi kegemaran kebanyakan pelanggan.

Sepanjang Ramadan lepas, restoran itu turut menjual pelbagai jenis colek yang mencecah hampir 500 pesanan sehari, katanya.

Bercerita di sebalik nama Kedai Nasi Kertas, Mohd Alif Aikal berkata ia tercetus bagi menampilkan keunikan restoran itu berbanding premis makanan lain.

“Nasi Kertas sebenarnya adalah nasi berlauk yang dibungkus dengan kertas sahaja. Sekiranya saya memberi nama seperti nasi berlauk pagi atau nasi ala Kak Wok, ia agak klise.

“Ia juga menjadi persoalan kepada orang ramai ‘gapo dio nasi kertas ni’, jadi mereka akan cuba membeli nasi ini untuk mengetahui keistimewaan dan paling penting rasanya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Melayu daripada Universiti Putra Malaysia itu.

Mengulas lanjut, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata dia memulakan perniagaan terbabit selepas tamat pengajian dengan modal sebanyak RM80,000 menggunakan wang simpanan sendiri dan bantuan ibu bapanya.

“Pada mulanya keluarga tidak yakin dengan hasrat saya untuk berniaga nasi berlauk ini disebabkan ramai yang menjual makanan sama tetapi saya tetap ingin mencuba nasib kerana minat berniaga makanan sejak di universiti lagi.

“Saya mula mengumpul modal hasil berniaga makanan secara kecil-kecilan semasa belajar. Alhamdulillah, menerusi restoran ini, saya kini mampu meraih pendapatan antara RM10,000 dan RM15,000 sebulan,” katanya yang dibantu 12 pekerja. BERNAMA

KREATIF: Tarik pelanggan dengan kostum SPIDERMAN, pemuda ini guna cara ini untuk tarik pelanggan membeli PETAI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker