Polis patah kaki dirempuh van dipandu lelaki suspek dadah


Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) patah kaki kiri selepas dirempuh van dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Taman Cengal Utama, Paroi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim, berkata kejadian berlaku ketika anggota lelaki berusia 37 tahun itu mengekori suspek yang memandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak berhenti selepas diarahkan kira-kira 12.40 tengah malam tadi

“Ketika kejadian, anggota URB itu sedang membantu unit kereta peronda polis (MPV) mengejar suspek berumur 37 tahun itu sebelum lelaki terbabit membuat pusingan U dan melanggar anggota berkenaan.

“Suspek yang memandu van jenis Nissan Vanette cuba membuat pusingan U sekali lagi dan melanggar kereta MPV sehingga mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan.

Said berkata, kenderaan suspek kemudian hilang kawalan sehingga melanggar tiang elektrik dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui sebatang kayu berukuran kira-kira 120cm yang dipasang dengan sebilah sabit berukuran 37cm selain cukai jalan dan nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

Selain itu, beliau berkata terdapat beg silang warna hitam mengandungi sebotol kaca yang diubah suai sebagai alat untuk menghisap dadah dan dua tiub straw berwarna putih berjalur biru mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 0.75g pada suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai beberapa rekod lampau termasuk membabitkan dadah,” katanya.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987 serta Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, katanya. FMT

[VIDEO]Pasangan kekasih langgar polis didakwa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker