KJ meroyan setiap kali saya persoal kadar vaksinasi rendah, kata Najib


PETALING JAYA: Najib Razak berkata, rakyat termasuk dirinya berhak mempersoalkan kadar vaksinasi rendah ketika ini dan menuntut dipercepatkan untuk negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Dengan menyifatkan Khairy Jamaludin sebagai seorang yang sensitif, bekas perdana menteri itu berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu perlu sedar kadar vaksinasi negara jauh ketinggalan berbanding negara serantau seperti Thailand, Korea Selatan, Singapura dan Filipina.

“Setiap kali saya persoalkan kadar vaksinasi rendah dan minta dipercepatkan, dia akan meroyan.

“Misalnya pada 18 Mac, saya tunjukkan kadar vaksinasi Malaysia masih rendah, walaupun program sudah bermula hampir sebulan, dia jawab kadar kita lebih laju berbanding Singapura dan negara lain seperti Thailand, Korea Selatan, Filipina, Jepun dan Australia pun belum mulakan program vaksinasi.



“Tapi saya tengok dua bulan kemudian negara-negara yang disebut telah memberi lebih banyak dos vaksin berbanding Malaysia,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Khairy dilaporkan mengkritik Najib yang menyerang rancangan vaksinasi secara berterusan dan tidak mempedulikan penjelasannya berhubung PICK boleh mencapai sasaran vaksinasi menjelang akhir tahun ini.

Walaupun pengiraan 6.1 tahun yang dinyatakan Najib semalam betul dari segi matematik, katanya, tetapi ia tidak mengambil kira peningkatan kadar vaksinasi di seluruh negara secara stabil dari bulan ke bulan.

Khairy berkata, kelmarin saja, seramai 76,000 orang divaksin, melebihi purata 30,000 hingga 40,000 vaksinasi yang diramalkan sebelum ini.



Najib mempersoalkan kewajaran kerajaan Perikatan Nasional menaikkan peruntukan untuk pembelian vaksin daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion daripada dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

“Yang umum jadual, kata bekalan akan stabil, janji kadar vaksinasi akan naik dan yang dua kali umum tertangguh, dia.

“Tapi marah pula bila orang persoal kenapa kadar vaksinasi masih rendah,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 5 Mei lalu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, bekalan vaksin mungkin tidak cukup untuk memulakan Fasa 3 PICK pada bulan ini seperti dirancang.



Tidak lama selepas itu, beliau dilapor menjangkakan bekalan akan lebih stabil dan mencukupi mulai Jun ini.

Bagaimanapun, pemberian vaksin secara berkelompok itu ditangguhkan lagi ke Julai, apabila gelombang ketiga menyaksikan jumlah kes lebih tinggi di beberapa negeri. FMT

Percepatkan vaksinasi elak PKP ‘olok-olok’ – Steven Sim



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker