Kerajaan Muhyiddin gagal perangi Covid-19 walau belanja besar, dakwa Mahathir

Kerajaan Muhyiddin Yassin jelas gagal memerangi pandemik Covid-19 walaupun sudah berbelanja besar dalam tempoh setahun bagi mengawal penularan wabak itu.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pengakuan terbuka Muhyiddin bahawa kerajaan Perikatan Nasional sudah membelanjakan lebih RM600 bilion bagi memerangi Covid-19 seharusnya membawa kepada kejayaan menamatkan pandemik itu.

Bagaimanapun, negara terus menyaksikan angka jangkitan semakin melonjak naik dengan rekod tertinggi 6,075 kes dicatatkan semalam.

“RM600 bilion adalah jumlah yang banyak. Bukan mudah membelanjakan wang sebanyak itu dalam tempoh yang cukup singkat. Kita perlu tahu,” katanya dalam kenyataan.

“Selepas sebulan, kita berjaya kawal jangkitan dengan kes baru turun kepada dua angka dan jumlah kematian tidak melebihi angka 10.

“(Oleh itu), kita terlebih yakin. Kita percaya kita tahu bagaimana untuk urus pandemik ini dan adakan pilihan raya di Sabah.

Sejak itu angka jangkitan terus meningkat ke tahap paling menakutkan iaitu lebih 6,000 kes semalam,” katanya.

Justeru, katanya langkah memperkenalkan semula PKP adalah langkah tepat namun perlu tindakan lebih tegas, jika tidak lebih ramai rakyat akan terkorban.

“Kita perlu kurung rakyat. Ini bermakna mereka tidak akan ada wang dan makanan. Kerajaan perlu menerima tanggungjawab ini untuk memastikan rakyat terus hidup.

“Kos ini akan ditanggung oleh kerajaan dan ia memerlukan wang yang banyak tetapi kerajaan mesti melakukannya,” tegas Mahathir.

Dalam pada itu, beliau menggesa Putrajaya mempercepatkan program vaksinasi dengan menerima sebarang vaksin yang digunakan di negara luar secara meluas.

“Usaha perlu diperluaskan agar orang kampung dapat divaksin,” katanya sambil menambah ujian saringan perlu dipergiatkan bagi memastikan individu yang dijangkiti dapat dikesan dan dikuarantin.

Pada 12 April lalu, Muhyiddin dalam satu kenyataan terbuka ketika menghadiri sambutan perayaan Vaisakhi oleh masyarakat Sikh, mengakui kerajaan sudah tidak banyak wang.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan lain untuk merangsang ekonomi yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.-FMT

GAGAL : Tiada sebab darurat disambung selepas 1 Ogos

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker