Petugas KKM perlu rehat, lesu perangi COVID-19


Petugas perubatan memerlukan rehat selepas perkhidmatan kesihatan kini dikesan berada di tahap genting berikutan penularan gelombang ketiga COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika menjelaskan perkara itu berkata peluang rehat kepada petugas perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada pesakit ketika ini diberikan secara bergilir.

Sejak ‘berperang’ dengan pandemik yang mula menular di Malaysia pada Januari 2020, katanya, petugas perubatan diberikan rehat mengikut jadual dan keadaan semasa.

“Terkini kita jalankan rehat secara bergilir kepada petugas mengikut jadual semasa dan keadaan semasa,” katanya kepada BH, hari ini.



Akhbar BH hari ini menerusi laporan muka hadapan menyiarkan sekurang-sekurangnya tiga faktor punca lonjakan kadar kematian, berikutan COVID-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Faktor hasil maklum balas pakar kesihatan itu merangkumi peningkatan kes sporadik akibat penularan meluas dan pantas dalam komuniti, pesakit lambat mendapatkan rawatan di hospital serta sistem perkhidmatan kesihatan berada pada tahap genting, sekali gus menyebabkan kelesuan petugas perubatan.

Kadar kematian angkara COVID-19 di negara ini semakin meruncing sejak 12 Mei lalu yang mencatatkan 39 kematian, disusuli 34 kematian (14 Mei), 44 kematian (15 Mei), 45 kematian (17 Mei) dan mencecah rekod baharu 47 kematian semalam.

Bagi mengelak sistem perkhidmatan kesihatan menjadi lumpuh, Dr Noor Hisham menasihatkan kepada orang ramai untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan, dengan kekal duduk di rumah serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) jika wujud keperluan untuk keluar.



“Kalau kurang pergerakan dan perhimpunan, kita dapat kurangkan kes jangkitan dan membantu petugas kesihatan bila kes berkurangan.

“Ini kemudian dapat putuskan rantaian jangkitan dan beri ruang masa untuk kita buat kesiapsiagaan tambahan serta rehat kepada petugas,” katanya. BH

Tiga faktor kes kematian COVID-19 meningkat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker