183 pesakit positif COVID-19 dikuarantin di pusat kuarantin di Melaka

MELAKA: Sebanyak 183 individu positif COVID-19 di Melaka sedang menjalani kuarantin di Hospital Melaka, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Penjara Sungai Udang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Melaka (ILKKM), setakat pukul 8 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 orang terdiri daripada orang awam, banduan dari Pusat Koreksional Jasin (86 orang) dan pendatang tanpa izin (29 orang) dari Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah, dengan kesemua mereka ditempatkan di Hospital Melaka.

Beliau berkata lapan orang awam pula ditempatkan di ILKKM, manakala 41 orang banduan dari Pusat Koreksional Jasin dikuarantin di Penjara Sungai Udang.

“Secara keseluruhan Hospital Melaka mempunyai 171 katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 dan sehingga pagi tadi, sebanyak 134 katil telah diisi dan hanya 37 katil lagi masih kosong.

“Di ILKKM pula, masih terdapat 32 katil kosong manakala di PKRC Penjara Sungai Udang masih ada 35 katil kosong untuk pesakit postif COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas Op Natal 2020 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini, hari ini.

Beliau berkata selain pusat kuarantin di negeri itu, sebanyak 119 pendatang tanpa izin dari Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo yang dikesan positif COVID-19 ditempatkan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAPES) Serdang.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata Jabatan Kesihatan Melaka telah mengeluarkan 12 notis kompaun bernilai RM39,000 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dari Januari hingga semalam.

Rahmad berkata sebanyak 1,430 barangan bernilai RM6,714.04 telah disita, kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dalam tempoh sama kerana atas pelbagai kesalahan antaranya pembungkus rosak, pecah, kemek atau berkarat, makanan berkulat atau rosak dan tamat tarikh luput.

Beliau berkata sebanyak 270 premis perniagaan termasuk pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan kilang di seluruh Melaka telah diperiksa dari Januari hingga semalam.

“Kita menasihatkan orang ramai agar memeriksa barang makanan sebelum dibeli daripada segi pelabelan, tarikh luput dan kualiti sesuatu makanan, seperti tidak berkulat, botol atau tin tidak kemek atau berkarat demi keselamatan mereka,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker