4 Kelebihan utama puasa 6 hari di bulan Syawal
4 Kelebihan utama puasa 6 hari di bulan Syawal. Kehadiran bulan Syawal bukan semata-mata untuk meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadan, atau bulan kita membalas dendam dengan makan apa sahaja pada siang hari.
Tetapi bulan Syawal adalah bulan yang menjadi kayu pengukur samada puasa yang kita lakukan sebelum ini memberi kesan pada diri atau tidak.
Dalam bulan ini Allah S.W.T. telah menyediakan satu ujian lagi bagi kita, yang mana apabila kita berjaya mengatasi sedikit ujian tersebut, bermakna kita akan memperoleh pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Itulah dia puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Sabda Baginda s.a.w.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun” HR Muslim
Subhanallah! Hebat bukan ganjaran yang Allah kurniakan. Secara logik akal, kalaulah sebulan dapat kita harungi dengan jayanya, apalah sangat dengan 6 hari.
Namun jangan yakin sangat. Walaupun hanya 6 hari dari 30 hari sahaja tetapi tidak semua yang berjaya mengharungi ujian ini. Hanya mereka yang benar-benar beriman dan bertakwa sahaja yang mampu berjaya.
Nak puasa 6 Syawal hati mestilah kental
Dan itulah kayu ukur kepada kualiti puasa kita sepanjang Ramadan yang lalu. Banyak ujian yang perlu ditempoh oleh mereka yang nekad untuk berpuasa 6 hari Syawal.
Yang penting hati mesti kuat terutama apabila mendapat undangan rumah terbuka, dijamu dengan makanan yang enak, menziarahi rumah sanak sudara atau melihat masyarakat sekeliling yang makan secara sengaja.
Hukum Puasa 6
Terdapat sedikit perselisihan pandangan antara mazhab feqah berkenaan ibadah ini. Ada yang berpandangan ia mesti dilakukan secara berturut-turut selama 6 hari dan ada juga yang berkata tidak perlu.
Memandangkan kita telah menggamalkan mazhab Syafie sebagai ikutan dalam beribadah maka menurut mazhab Syafie hukumnya sunat sepanjang Syawal, samada dilakukan secara berturut atau berpisah. Namun lebih afdal jika dilakukan secara berturut-turut. Jika tidak berkemampuan boleh diselang selikan sehingga cukup 6 hari.
Dalam pada itu sering juga timbul persoalan, bolehkah puasa 6 hari ini digabungkan dengan puasa qada (puasa ganti).
Dalam hal ini berlaku khilaf pada sebahagian ulama. Ada yang berpandangan tidak sah ibadah wajib digabungkan dengan yang sunat. Manakala ada sebahagian yang lain berpandangan sah namun pahala yang diperoleh tidak sempurna.
Bagi mazhab Syafie mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan Syawal. Namun begitu, menggabungkan puasa qada dengan puasa sunat 6 Syawal tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.
Walau bagaimanapun menyegerakan qada puasa adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak. Oleh itu bagi keluar dari khilaf, seeloknya diasingkan puasa tersebut. Buatlah qada puasa dahulu dan kemudian barulah niat puasa sunat 6 Syawal.
Antara kelebihan puasa 6 Syawal ialah:
Pertama: Berpuasa selama setahun
Sabda Baginda s.a.w.
““Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun” HR Muslim
Kedua: Menguatkan hubungan dengan Allah
Dalam sebuah hadis Qudsi yang agak panjang, Allah S.W.T. berfirman,
“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri beribadah) kepada Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku wajibkan kepadanya. Dan senantiasalah hamba Ku bertaqarrub kepada Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya…” HR Bukhari
Ketiga: Pelengkap amalan fardhu
Hadis Qudsi, firman Allah S.W.T.
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat, Baginda s.a.w. bersabda, “Allah berfirman kepada para malaikat Nya sedang Dia lebih mengetahui, Lihatlah pada solat hamba Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih kurang? Sekiranya sudah sempurna maka tulislah sempurna. Sekiranya masih kurang,” firman Nya,
“lihatlah adakah ada pada hamba Ku itu amalan-amalan sunat”. Sekiranya ada firmannya, “sempurnakanlah bagi hamba Ku itu amalan fardunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu” HR al-Hakim
Keempat: Dimasukkan ke dalam syurga
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan berkata,
“salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)” az-Zumar: 73
Begitulah ganjaran bagi orang berpuasa 6 Syawal dan membuktikan takwa serta keimanannya kepada Allah. Wallahu a’lam.
Baca Artikel Menarik
- Cari pasal, Aliff Syukri pukul Ac Miza
- Resepi Rendang Daging Sedap Giler
- Chong Wei sayu lihat ‘bibik’ menangis
- Resepi Mee Bandung Sempoi
- Resepi Kek Marble Lembap
Layari Laman Facebook My KMU NeT
You must be logged in to post a comment.