[VIDEO] Kenali Khan Baba, Lelaki Yang Digelar ‘Hulk Of Pakistan’
Bagi anda yang meminati filem sekuel Avengers, maka tidak perlu diperkenalkan karakter Hulk yang merupakan antara adiwira yang terkuat kerana tubuh badannya yang sasa dan gergasi. Namun, siapa sangka, di Pakistan juga ada seorang lelaki yang mempunyai bentuk badan sasa seakan-akan Hulk.
Lelaki yang dimaksudkan itu bernama Arhab Khizer Hayat, 28 tahun atau mesra dikenali dengan panggilan nama Khan Baba. Beliau memiliki tubuh badan yang sasa seberat 435 kilogram. Disebabkan tubuh badannya itu, Khan digelar sebagai ‘Hulk of Pakistan’, lapor Times Now News.
Nama Khan Baba semakin popular dan menjadi sebutan di seluruh dunia selepas dia memuat naik beberapa video yang memaparkan kehebatan beliau di media sosial.
Meskipun memiliki berat badan seberat 435 kilogram, namun agak mengejutkan apabila Khan mendakwa bahawa dia langsung tidak mengalami apa-apa masalah atau komplikasi kesihatan.
Setiap hari, Khan akan makan 36 biji telur untuk sarapan pagi dan makan makanan berat sekurang-kurangnya 3 kilogram daging serta 5 liter susu.
“Kesemua makanan itu saya sediakan sendiri maklumlah saya ini masih bujang. Kalau ingin mencari calon isteri, kalau boleh saya mahu wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan sekurangnya 100 kilogram.
“Setakat ini, wanita yang ingin berkahwin dengan saya semua ‘kurus kering’, jadi tidak sesuai dengan tubuh badan saya ini,” ujar Khan Baba ketika ditemu ramah oleh media tempatan Arhab.
Dalam pada itu, Khan Baba juga menyatakan hasratnya untuk memasuki pertandingan gusti berprestij dunia iaitu World Wrestling Entertainment (WWE) dan bercita-cita untuk menjadi juara gusti satu hari nanti.
“Impian saya hanya satu iaitu memasuki pertandingan WWE. Kini, saya cuba untuk mencapai sasaran berat yang sesuai dan patuh dengan aturan permakanan bernutrisi seperti yang disarankan doktor,” ujar Khan lagi.-TVC
You must be logged in to post a comment.