DBKL serbu premis hiburan ‘Bollywood’ di Bukit Bintang


HELAH sebuah pusat hiburan ala ‘Bollywood’ yang beroperasi dengan menjadikan pintu belakang sebagai laluan utama masuk ke premis itu bagi mengaburi mata orang ramai terbongkar apabila diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malam tadi.

DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) menyerbu premis hiburan di Kompleks Wilayah, Bukit Bintang Kuala Lumpur itu yang didapati beroperasi tanpa kebenaran dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi satu kenyataan di Facebook, DBKL berkata, operasi hasil aduan awam itu dimulakan dengan risikan bagi mengenalpasti modus operandi dan laluan keluar masuk ke premis tersebut.

Katanya, premis kelab hiburan itu menggunakan laluan pintu belakang (pintu kecemasan) bagi mengaburi dan mengelak aktiviti mereka daripada dilihat orang ramai.

Menurutnya, selain dari itu, pintu hadapan premis itu turut mengandungi dua lapisan termasuk satu pintu tebal yang berfungsi sebagai pintu kedap bunyi bagi mengelakkan bunyi bising muzik didengari orang luar.

“Seramai empat orang wanita warga negara Bangladesh yang bertugas sebagai pelayan dan juga penari berada di dalam premis semasa serbuan dilakukan.

“Tindakan sita turut dilakukan terhadap 14 pelbagai peralatan berkaitan aktiviti ini berupa komputer riba, mixer, mikrofon dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DBKL pada masa sama turut mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 dan jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh didenda sehingga RM50,000.

Ujarnya, satu notis kompaun turut dikenakan di bawah Undang Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kerana menyalahgunakan lesen restoran/kedai makan dengan menjual dan menghidangkan minuman keras tanpa kebenaran yang sah yang boleh didenda sehingga RM2000.

“Operasi ini dilaksanakan mengikut bidang kuasa, peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Kenyataan itu menambah, operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa dan sebarang aduan, warga kota boleh menyalurkan kepada pihak DBKL secara atas talian seperti link berikut:http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do. Utv

Serbu premis hiburan ‘tersorok’, dikawal ketat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker